







25 April 2026 – Majlis Perbandaran Kulim telah menganjurkan Kulim Urban Community Fiesta dan Kulim Kedah Silver Ride 2026 yang telah berlangsung dengan sangat meriah di Dewan Putra, Kulim. Program ini diisi dengan pelbagai aktiviti menarik berteraskan gaya hidup sihat, kesejahteraan komuniti dan semangat kebersamaan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Haji Norizan bin Khazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah. Turut hadir Tuan Mohamad Rizal bin Mohamad Radzi, Pegawai Daerah Kulim; Puan Sunita binti Abdul Aziz, Yang Dipertua PBT Kulim Hi-Tech; Encik Mohd Hafiz Sulaiman, Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Kesejahteraan Komuniti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Puan Noorul Azyyati binti Ahmad Salmi, Setiausaha MPKK serta barisan Ahli Majlis dan anggota Majlis Perbandaran Kulim.
Dalam ucapan Dato’ Yang Dipertua MPKK, acara telah dimulakan seawal pagi dengan pelepasan Kulim Kedah Silver Ride 2026 yang berjaya menghimpunkan seramai 220 peserta termasuk seorang peserta antarabangsa dari Brunei Darussalam.
Program seperti Silver Ride bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat, malah berpotensi dijadikan acara tahunan serta menarik penyertaan luar termasuk pelancong untuk mengenali keunikan dan lokasi menarik di Kulim.
Pelbagai aktiviti komuniti turut dianjurkan seperti pertandingan mengupas dan mengukur kelapa melibatkan Zon Ahli Majlis, selain acara Hot Wheels dan Tamiya serta pertandingan mewarna kanak-kanak.
Turut memeriahkan program adalah pengisian menarik seperti Hari Bertemu Pelanggan MPKK, pameran agensi antaranya Pejabat Kesihatan Daerah Kulim, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Syarikat Eidaman Sdn. Bhd., Lembaga Zakat Negeri Kedah, Pejabat Daerah dan Tanah Kulim, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kolej Vokasional Kulim, Kolej Komuniti Kulim, Syarikat Farm Fresh Milk Malaysia dan Jualan Rahmah yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dato’ Yang Dipertua serta seluruh warga MPKK atas kejayaan menganjurkan program yang menghimpunkan dua acara serentak, sekali gus menyambut seruan kerajaan untuk penjimatan kos dan memberi impak besar kepada komuniti.
Kulim kini berkembang pesat sebagai bandar industri berteknologi tinggi dengan kepelbagaian kaum yang hidup harmoni. Kejayaan dari segi pengurusan, pentadbiran serta pencapaian di peringkat nasional membuktikan kecemerlangan daerah ini serta telah membawa nama daerah Kulim di peringkat dalam dan luar negara.
Penganjuran ini turut bersempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun MPKK, mencerminkan komitmen berterusan dalam membangunkan bandar yang harmoni, inklusif dan sejahtera.
Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini. Semoga usaha sebegini terus memperkukuh hubungan komuniti dan memacu kesejahteraan bersama.