PEMANTAPAN TADBIR URUS DIGITAL : BENGKEL PROTOTAIP BAGI PROJEK PERKHIDMATAN PEMBANGUNAN SISTEM ePBT 3.0
Alor Setar, 28 April 2026 – Bengkel Prototaip bagi Projek Perkhidmatan Pembangunan Sistem ePBT 3.0 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, bertempat di Dewan Besar As-Sakinah, Menara MBAS.
Program berimpak tinggi ini merupakan anjuran Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), yang menghimpunkan wakil-wakil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dari seluruh Malaysia.
Sesi perasmian pembukaan bengkel telah disempurnakan oleh Setiausaha MBAS, Encik Mohamad Shahuri bin Mohamad Norlin yang mewakili Datuk Bandar Alor Setar, manakala majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Pembangunan) JKT, YBrs. Tuan Omran bin Omar. Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Inspektorat JKT, YBrs. Puan Nur’Aishah binti Mohd Norodin; Pengarah Bahagian Pengurusan Maklumat JKT, YBrs. Encik Ruslan Bin Ngah; Timbalan Setiausaha MBAS, Encik Azlizam bin Jaafar Siddik; Pengurus Projek, Puan Hamidah Binti Mustafa serta pegawai-pegawai terlibat.
Objektif utama bengkel ini adalah untuk memperhalusi pembangunan sistem ePBT 3.0 yang akan digunapakai PBT mulai tahun 2028 sebagai platform digital yang lebih moden, berkeupayaan tinggi, selamat, serta berasaskan web secara menyeluruh. Transformasi digital ini bertujuan menggantikan platform legasi sedia ada, sekali gus memastikan sistem penyampaian perkhidmatan PBT di seluruh negara lebih efisien dan responsif terhadap keperluan semasa rakyat.
Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan KPKT dan PBT dalam memacu agenda pendigitalan perkhidmatan awam, selaras dengan matlamat memperkasakan tadbir urus bandar raya yang lebih pintar dan mampan.
