PERASMIAN THE TENZ EMPORIUM COLD STORAGE | BANGUNAN PAWAGAM LAMA KINI JADI HAB PERNIAGAAN BAHARU DI ALOR SETAR.
Alor Setar, 30 April 2025 – Sebuah bangunan terbiar yang dahulunya dikenali sebagai pawagam Tai Kuan kini diberi nafas baharu apabila ia berjaya dibangunkan menjadi sebuah hab perniagaan moden iaitu The Tenz Emporium Cold Storage pertama di Kedah untuk dinikmati oleh warga bandar raya.
Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya berkata inisiatif Kumpulan Imperio dan GCH Retail (Malaysia) melalui pembukaan The Tenz Emporium Cold Storage di Simpang Kuala itu sebagai satu perkembangan yang sangat positif di bandar raya Alor Setar.
“Kehadiran Kumpulan Imperio dan GCH Retail (Malaysia) dengan pembukaan The Tenz Emporium Cold Storage cawangan pertama di Kedah, tepat di nadi Simpang Kuala adalah satu kenyataan yang jelas. Ia membuktikan bahawa warga Alor Setar mempunyai aspirasi, keupayaan, dan daya saing yang setanding dengan mana-mana bandar raya di Malaysia.”
“Bagi setiap warga bandar raya Alor Setar, tapak Tai Kuan mempunyai kedudukan istimewa dalam lipatan sejarah kita. Pada penghujung kurun ke-18 dan awal kurun ke-19, kawasan ini adalah simbol identiti dan nadi penggerak komuniti Simpang Kuala suatu ketika dahulu.”
“Melihat kawasan ini, ini antara kawasan yang sentiasa kita lihat suram, tidak bagus kepada pintu Alor Setar selatan untuk masuk ke pusat bandar raya. Ia hari ini muncul satu identiti baharu yang bukan lagi ruang yang kosong atau ruang yang terbiar.”
“Jesteru, melalui komitmen Kumpulan Imperio dan GCH Retail (Malaysia), The Tenz Emporium Cold Storage bakal mengembalikan kegemilangan tapak ini sebagai pusat tumpuan masyarakat dan sebagai nadi kepada Simpang Kuala.”
“Saya begitu kagum dengan Kumpulan Imperio ini, kita tidak meruntuhkan sejarah demi kemajuan. Sebaliknya, kita mengangkat martabat sejarah kawasan ini untuk membina masa depan Alor Setar yang lebih progresif dan berdaya huni.”
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan The Tenz Emporium Cold Storage di Pekan Simpang Kuala. Hadir sama Ketua Seksyen Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kedah, Puan Haniaryana Mustaffa; Ketua Pegawai Eksekutif Imperio Group, Encik Lee Woei Nen; Ketua Pegawai Eksekutif GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, Encik Cheah Yong Hock; Ahli Majlis MBAS, Dato’ Ch’ng Boon Chye, pegawai-pegawai MBAS serta pegawai-pegawai terlibat.
Dalam perkembangan yang sama, beliau turut memaklumkan 2 bulan yang lalu MBAS telah memperkenalkan Manual ‘New Approval for Development Initiative” @ NADI iaitu laluan pantas yang meniktikberatkan kecekapan, ketelusan dan pengurangan prosedur bertindih dalam pelan pelan pemajuan..
“Selepas ini kepada rakan-rakan pemain industri, bagi mana-mana kelulusan pelan pemajuan serentak, kita akan kurangkan tempoh kelulusan daripada 99 hari kepada 27 hari sahaja sebagai galakan untuk merancakkan ekonomi di bandar raya Alor Setar.”
“Dengan adanya The Tenz Emporium Cold Storage ini, ia bukan sahaja untuk mencari keuntungan kepada para peniaga, tetapi ia adalah pertumbuhan ekonomi yang berpanjangan dan memberi lapangan kerja kepada warga bandar raya Alor Setar,” ujarnya.
