MBAS LAKSANA OPERASI BERSEPADU PREMIS INDUSTRI DAN PREMIS PERNIAGAAN (BENGKEL, SETOR DAN GUDANG), 15 KOMPAUN DAN 21 NOTIS DIKELUARKAN ATAS PELBAGAI KESALAHAN
Alor Setar, 10 Mei 2026 – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melalui Jabatan Perancangan Pembangunan (Bahagian GIS & Penguatkuasaan), Bahagian Penguatkuasaan, dan Bahagian Audit telah melaksanakan siri ketiga Operasi Bersepadu pemeriksaan premis kilang serta premis perniagaan di sekitar Daerah Kota Setar, baru-baru ini.
Operasi tersebut merangkumi pemeriksaan terhadap bengkel, setor, dan gudang, bertujuan memastikan setiap pengusaha mematuhi syarat-syarat di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) serta peraturan-peraturan pelesenan yang telah ditetapkan. Hasil daripada pemeriksaan tersebut, pihak MBAS telah mengeluarkan sebanyak 15 kompaun dan 21 notis atas pelbagai kesalahan.
Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan MBAS, Tuan Hj Bohari Md Yusoff berkata operasi ini bukan sekadar bertujuan untuk penguatkuasaan semata-mata, malah sebagai langkah mendidik para pemain industri.
“Kami telah menjalankan dua siri operasi sebelum ini dan hari ini merupakan siri ketiga, untuk kita melihat sepanjang Tandop sehingga ke kota Sarang Semut, kebanyakan pemain-pemain industri ini adakah mempunyai kelulusan Kebenaran Merancang (KM), lesen dan sebagainya. Jadi kita akan meneliti perkara ini, dan kita akan menyantuni pemain-pemain industri terutamanya dalam kawasan Majlis Bandaraya Alor Setar, supaya lebih memahami dan bersama-sama pihak MBAS” katanya ketika ditemui semasa operasi berkenaan.
Tambah beliau, pihak MBAS sentiasa bersedia membantu para pengusaha melalui rundingan dan khidmat nasihat. Oleh itu, beliau menyeru para pemilik kilang, gudang, pengusaha perniagaan besar dan sebagainya agar tampil ke pejabat MBAS sebelum bulan Ogos ini untuk mendapatkan khidmat nasihat berkaitan status premis mereka.
“Yang lebih penting, saya nak menjelaskan Pihak Majlis telah membangunkan inisiatif New Approval for Development Initiative (NADI), iaitu satu sistem inisiatif kelulusan baharu untuk pembangunan. Melalui NADI, kita akan bantu semua pemain industri supaya urusan permohonan mereka menjadi lebih lancar dan tidak bermasalah di kemudian hari,” jelas beliau.
Adalah diingatkan bahawa tiada mana-mana pihak, selain pihak berkuasa tempatan, dibenarkan memulakan, mengusahakan atau menjalankan apa-apa pemajuan melainkan kebenaran merancang bagi pemajuan tersebut telah diberikan di bawah Seksyen 22 atau dilanjutkan di bawah Seksyen 24(3) dan Seksyen 19(1), Akta Perancangan Bandar & Desa 1976 (Akta 172).
Operasi pemeriksaan berkala ini akan diteruskan dari semasa ke semasa secara berjadual ke atas semua premis-premis di dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Alor Setar. Justeru itu, kepada semua pemilik premis industri dan perniagaan dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.
