KUNJUNGAN DATUK BANDAR ALOR SETAR KE PROGRAM KANVAS KESELAMATAN NEGARA TAHUN 2026, LORONG SELAMAT, ALOR SETAR
Alor Setar, 18 Mei 2026 – Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar bin Yahya telah meluangkan masa memberikan sokongan berkunjung ke Program Kanvas Keselamatan Negara Tahun 2026 bertempat di Lorong Selamat, pagi tadi.
Inisiatif seni berimpak tinggi ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kedah bersama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan penaja utama iaitu Alatmart. Penganjuran program ini yang bertemakan “Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama” dilaksanakan selaras dengan aspirasi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Keselamatan Negara 2026 yang dijadualkan berlangsung pada bulan Julai hadapan.
Program ini mendapat sambutan yang sangat baik dengan melibatkan penyertaan seramai 150 orang pelajar dari SCIMPA, Universiti Utara Malaysia (UUM) serta Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS).
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan MBAS, Encik Afizudin bin Dato’ Paduka Haji Mohd Saad; Ketua Bahagian Pelancongan dan Kebudayaan MBAS, Puan Siti Fazlina Abd Tafaruddin; pegawai-pegawai MKN Negeri Kedah serta pegawai-pegawai terlibat.
