PENYUSUNAN SEMULA PENJAJA TAMAN BUDIMAN, ALOR SETAR
Alor Setar, 25 Mei 2026 (Isnin) – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah mengadakan satu sesi libat urus bersama wakil-wakil penjaja di kawasan Taman Budiman bertempat di Dewan Mesyuarat, Bangunan UTC Kedah, petang semalam. Sesi ini bertujuan untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan bagi pelaksanaan penyusunan semula kawasan perniagaan di lokasi tersebut.
Sesi perbincangan telah dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran, Encik Mohd Khairuddin Bin Idris, manakala taklimat khas kepada para peniaga telah disampaikan oleh Ketua Bahagian Pengurusan Pasar dan Penjaja, Puan Nor Shakila Binti Che Ali.
Hasil perbincangan bersama, pihak MBAS akan menyusun semula penjaja di kawasan itu dengan lebih kemas dan teratur serta para penjaja diwajibkan mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti dengan mempunyai lesen yang sah, menggunakan khemah bersaiz 10×10, tidak meletakkan kerusi dan meja serta penekanan terhadap kebersihan persekitaran (wajib menyediakan tong sampah bertutup) dan pematuhan etika perniagaan (wajib berapron dan tidak berniaga di persimpangan jalan). Penjaja juga tidak dibenarkan meninggalkan peralatan selepas waktu perniagaan tamat.
Pelaksanaan semula penjaja di kawasan itu akan dikuatkuasakan oleh pihak MBAS mulai 22 Jun 2026. Langkah ini diambil bagi menjamin kelangsungan perniagaan penjaja serta kesejahteraan warga bandar raya secara keseluruhan.
Pihak MBAS merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama semua penjaja yang telah diberikan.
Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Ahli Majlis Zon 2 MBAS, En. Osman Zakba Saad; PDRM Kota Setar, Pengarah-Pengarah dan Ketua-Ketua Bahagian MBAS, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM), YBrs. En. Mohd. Nazri Bin Kamaruzzaman serta wakil-wakil penjaja terlibat.
