ADUAN ISU KACAU GANGGU | MBAS SERAH NOTIS PENUTUPAN SEMENTARA PREMIS OPERASI KILANG SIMEN KONKRIT
Alor Setar, 25 Mei 2026 – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah mengeluarkan Notis Penutupan Sementara ke atas sebuah premis operasi kilang simen konkrit di Hutan Kampung, petang semalam. Tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan susulan aduan penduduk setempat berhubung pelbagai isu kacau ganggu termasuk pencemaran habuk, bunyi bising, getaran, serta ancaman keselamatan akibat kekerapan pergerakan kenderaan berat di kawasan terbabit.
Tindakan penutupan premis tersebut dikuatkuasakan sepenuhnya selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 101(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). Langkah ini diambil bagi memastikan kesejahteraan, keselesaan, dan keselamatan komuniti persekitaran penduduk sekitar.
Pihak MBAS sentiasa memandang serius terhadap setiap aduan awam yang disalurkan dan komited memastikan setiap aktiviti perniagaan mematuhi syarat serta undang-undang yang ditetapkan untuk memastikan aspek keselamatan dan kesejahteraan warga bandaraya.
Orang awam amat dialu-alukan untuk terus menyalurkan sebarang aduan atau maklumat berkaitan isu kacau ganggu, pencemaran, atau keselamatan di kawasan masing-masing kepada pihak MBAS. Kerjasama antara warga bandaraya dan pihak majlis amatlah dihargai bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diselaraskan demi mengekalkan keharmonian serta kelestarian Bandaraya Alor Setar.
