




4 Jun 2026 – Semangat Aidiladha terus diraikan dalam suasana penuh kemesraan apabila Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) menganjurkan Jamuan Sempena Hari Raya Aidiladha 1447H yang menghimpunkan seluruh warga kerja MPKK serta Ahli-Ahli Majlis dalam satu program yang sarat dengan nilai kebersamaan dan ukhuwah.
Keunikan sambutan kali ini terserlah menerusi penglibatan aktif warga MPKK dalam aktiviti memasak secara gotong-royong, memperlihatkan semangat kerjasama, kesepakatan dan kekeluargaan yang menjadi tunjang kekuatan organisasi. Bermula daripada penyediaan bahan mentah sehingga penyajian hidangan, setiap tugas dilaksanakan dengan penuh komitmen dan semangat muafakat.
Program turut disemarakkan dengan Majlis Bacaan Yasin yang menjadi wadah untuk memperkukuhkan penghayatan nilai-nilai kerohanian serta memohon keberkatan, kesejahteraan dan kejayaan berterusan buat seluruh warga MPKK.
Penganjuran program seumpama ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim, malah menjadi platform terbaik dalam menyemai budaya kerja berpasukan, memperkukuhkan perpaduan dan membentuk organisasi yang lebih harmoni, dinamik serta cemerlang dalam penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.