MPSPK TURUN PADANG, DENGAR SUARA PENIAGA – KEMUDAHAN BAHARU BAKAL DINIKMATI DI LAMAN NIAGA SEKUPANG LAGUNA

Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) terus komited memastikan kebajikan dan keselesaan para peniaga sentiasa diberi perhatian menerusi satu lawatan tapak yang diadakan di Laman Niaga Sekupang D’ Laguna Merbok yang diketuai oleh Setiausaha MPSPK, Encik Mohamad Hilmi bin Marzuki.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ahli Majlis Zon 8, Encik Khalil Bashah, Pengarah Jabatan Pelesenan Puan Tasha Amira binti Che Musa, Encik Ahmad Shazwan bin Saiddin dari Jabatan Kejuruteraan, Ketua Bahagian Jabatan Pelesenan Puan Afeeka, Puan Raheel serta beberapa anggota Jabatan Pelesenan MPSPK.

Lawatan ini diadakan bagi menyantuni para peniaga yang menjalankan perniagaan di Laman Niaga Sekupang Laguna di samping mendengar sendiri pandangan, cadangan serta keperluan mereka demi memastikan persekitaran perniagaan yang lebih selesa, teratur dan kondusif.

Dalam sesi tersebut, Tuan Setiausaha telah memaklumkan kepada para peniaga mengenai perancangan pelaksanaan projek pembinaan bumbung berkonsepkan “U-Shape” di kawasan tapak niaga berkenaan. Inisiatif ini dilihat mampu memberikan perlindungan yang lebih baik kepada peniaga dan pengunjung daripada cuaca panas mahupun hujan, sekali gus mewujudkan suasana perniagaan yang lebih selesa.

Selain itu, penerangan turut diberikan berhubung cadangan penambahbaikan jalan masuk ke kawasan tapak niaga sebagai usaha meningkatkan aksesibiliti, kelancaran pergerakan serta kemudahan kepada para peniaga dan pengunjung yang berkunjung ke lokasi tersebut.

MPSPK percaya bahawa pembangunan ekonomi setempat perlu bergerak seiring dengan penyediaan kemudahan yang berkualiti. Justeru, pendekatan turun padang dan libat urus secara berterusan akan terus diperkasakan bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada komuniti peniaga serta menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan.

Klik untuk gambar sekitar program

Skip to content