MAJLIS PERASMIAN SEMINAR KEBANGSAAN PBT MALAYSIA 2026, KE ARAH PENDIGITALAN MAMPAN & KECERDASAN BUATAN (AI) YANG LESTARI
Alor Setar, 15 Jun 2026 – Majlis Perasmian Seminar Kebangsaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Malaysia 2026 bertemakan ‘Ke Arah Pendigitalan Mampan & Kecerdasan Buatan (AI) Yang Lestari’ yang telah berlangsung bertempat di Raia Hotel Alor Setar. Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah, Yang Berhormat Mejar (B) Mansor bin Zakaria.
Seminar berprestij peringkat kebangsaan ini merupakan anjuran bersama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan rakan strategik, EB Property Management. Program yang berlangsung selama dua hari, bermula dari 15 hingga 16 Jun 2026 ini, menampilkan barisan penceramah dan panel berpengalaman dari seluruh negara bagi membincangkan pelan hala tuju teknologi perbandaran.
Penganjuran seminar ini dianjurkan dengan beberapa objektif utama iaitu untuk meningkatkan kefahaman serta memberi pendedahan menyeluruh kepada PBT mengenai konsep pendigitalan mampan dan aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam sistem pengurusan bandar. Di samping itu, program ini turut menyediakan ruang perbincangan berhubung cabaran dan etika bagi mengenal pasti tahap kesiapsiagaan, cabaran pelaksanaan, serta memperhalusi garis panduan etika mahupun aspek perundangan dalam adaptasi teknologi AI di peringkat PBT. Pada masa yang sama, seminar ini bermatlamat untuk mewujudkan sebuah platform interaktif bagi penanda aras dan perkongsian amalan terbaik (best practices) berkaitan pelaksanaan pendigitalan serta AI membabitkan penyertaan pelbagai PBT di seluruh Malaysia.
Inisiatif ini selari dengan matlamat pemodenan perkhidmatan awam, sekali gus membuktikan komitmen berterusan pihak PBT dalam memacu transformasi digital bagi mengoptimumkan penyampaian perkhidmatan perbandaran yang lebih efisien, lestari, dan berdaya saing pada masa hadapan.
Hadir sama ialah Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya; Pengarah Urusan EB Property Management, PLC Pmgr. Sr. Dr. HAJI SOEB BIN Pawi; Profesor Plc Pmgr. Sr. Dr. Haji Wan Zahari Bin Wan Vusoff dari Jabatan Pengurusan Harta Tanah, Fakulti Pengurusan Teknologi & Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM); Ketua Whip Ahli Majlis MBAS, Tuan Haji Muhammad Riduan Othman; Pegawai Undang-Undang MBAS, YBrs. Dr. Elina Mohd serta pegawai-pegawai terlibat.
