MAJLIS PERHIMPUNAN KORPORAT MAJLIS BANDARAYA ALOR SETAR BIL. 2 TAHUN 2026

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 23 Jun 2026 – Majlis Perhimpunan Korporat Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) Bilangan 2 Tahun 2026 yang telah berlangsung pagi tadi bertempat di Dewan Besar As-Sakinah, Aras 7, Menara MBAS. Majlis telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya.
 
Perhimpunan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Negeri Kedah, dan lagu rasmi MBAS dan seterusnya, bacaan ikrar seluruh kakitangan MBAS telah dilakukan sebagai simbolik semangat kerjasama dan komitmen terhadap tugas.
 
Bagi menghargai komitmen pelbagai pihak dalam menjaga kebersihan fasiliti awam, majlis diteruskan dengan acara penyampaian hadiah bagi Pertandingan Tandas Terbaik (TOTYA26) Bertaraf 5 Bintang Peringkat MBAS Tahun 2026 yang menyaksikan Sekolah Kebangsaan Taman Rakyat dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Sekolah. Selain itu, turut merangkul anugerah kecemerlangan tersebut ialah Masjid Al Huda, Kampung Pak Kiau bagi kategori Rumah Ibadat; StarCity Hotel dan Fuller Hotel bagi kategori Hotel; serta Aman Central bagi kategori Pusat Beli-Belah.
 
Selain menghargai pihak luar, pengurusan MBAS turut meraikan kecemerlangan warga kerjanya menerusi penyerahan Surat Tawaran Kenaikan Pangkat. Majlis bertambah bermakna dengan acara Penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah MBAS Tahun 2026 kepada Pengarah Jabatan Kewangan MBAS, Encik Mohd Najib bin Mohd Salleh bagi mengiktiraf kepimpinan serta sahsiah terpuji beliau dalam organisasi.
 
Di samping itu, booth pendaftaran aplikasi JustGO, sebuah aplikasi pintar memudahkan urusan mobiliti dan transaksi perjalanan di mana-mana lorong tol secara lebih efisien turut diadakan oleh Koperasi MBAS. Penerangan ringkas mengenai promosi aplikasi ‘Just Go’ telah disampaikan oleh Ketua Bahagian Teknologi Maklumat MBAS, Encik Muhammad Anas bin Abd Rahim.
 
Majlis diakhiri dengan sesi ‘Idea dan Bakat’ yang direka khusus bagi memberi ruang kepada warga MBAS menonjolkan potensi diri serta kreativiti yang mampu menyumbang kepada kecemerlangan organisasi.
Skip to content