ALOR SETAR DIBERI PENGHORMATAN TUAN RUMAH MESYUARAT SERANTAU TPO 2026

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 23 Jun 2026 – Bandaraya Alor Setar terus melakar pencapaian membanggakan apabila diberi penghormatan menjadi tuan rumah bagi penganjuran Tourism Promotion Organization for Asia Pacific Cities (TPO) Regional Meeting 2026 yang berlangsung di sini, baru-baru ini.
 
Persidangan bertaraf antarabangsa yang menghimpunkan wakil-wakil bandar anggota TPO, agensi kerajaan, penggiat industri, serta komuniti pelancongan tempatan itu telah berlangsung di Dewan Mesyuarat, Bangunan UTC Kedah. Mesyuarat berprestij tersebut telah dipengerusikan secara rasmi oleh Setiausaha Agung TPO, Puan Kang Da-eun yang hadir dari Busan, Korea Selatan.
 
Penganjuran Bengkel Pelancongan dan Mesyuarat Serantau TPO itu telah berjaya menghimpunkan seramai 80 orang peserta. Platform perbincangan strategik ini mengupas pelbagai agenda penting termasuk pembangunan sektor pelancongan, kelestarian pelancongan mampan dan berasaskan komuniti, pemasaran destinasi, serta peluang kerjasama antara bandar-bandar anggota. Selain itu, turut diadakan sesi perkongsian pakar jemputan dai Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Amirul Husni Affifudin.
 
Persidangan ini turut dimanfaatkan sebagai platform utama bagi delegasi bertukar pandangan, berkongsi pengalaman, serta membincangkan amalan terbaik dalam pengurusan pelancongan bandar di peringkat global, sejajar dengan visi MBAS yang telah menganggotai pertubuhan tersebut sejak tahun 2020.
 
Hadir sama Pengarah Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan MBAS, Tuan Afizudin bin Dato’ Paduka Hj Mohd Saad yang mewakili Datuk Bandar Alor Setar; Pengurus Besar Kedah Tourism, Encik Zaidy Omar; Ketua Whip Ahli Majlis MBAS, Tuan Haji Muhammad Riduan Othman dan Ahli Majlis MBAS, Dato’ Chng Boon Chye.
 
Sejurus selesai sesi mesyuarat, para delegasi antarabangsa dan tempatan telah dibawa menyertai siri lawatan teknikal bagi meninjau potensi produk pelancongan komuniti serta tapak warisan utama di sekitar bandar raya ini. Antara lokasi yang menjadi tumpuan lawatan delegasi termasuklah Pusat Kraftangan Alor Setar, keunikan seni bina tradisional di Rumah Tok Su serta Dusun Riffaa di Changlun.
 
Pelaksanaan lawatan teknikal tersebut bukan sahaja mempromosikan produk tempatan, malah ia memberi pendedahan menyeluruh kepada delegasi mengenai inisiatif dan komitmen berterusan pihak MBAS dalam usaha memperkasakan sektor pelancongan berasaskan komuniti, pemeliharaan warisan, serta potensi agro-pelancongan di ibu negeri Kedah ini.
 
Skip to content