MBAS LAKSANA OPERASI PENGUATKUASAAN MEROBOH STRUKTUR BINAAN DI TAPAK PENJAJA TAMAN PELANGI BAGI TUJUAN PELAKSANAAN PENYUSUNAN SEMULA PENJAJA KAWASAN TERSEBUT

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH

Alor Setar, 27 Jun 2026 – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah melaksanakan operasi penguatkuasaan meroboh struktur binaan di tapak penjaja Taman Pelangi pagi tadi, sebagai langkah untuk menyusun semula aktiviti perniagaan di kawasan tersebut agar lebih teratur dan sistematik.
 
Pegawai Kesihatan Persekitaran MBAS, Muhammad Helmy Jufry Rusli berkata, operasi itu bertujuan memastikan semua penjaja mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak MBAS, terutamanya yang melibatkan syarat-syarat pelesenan sedia ada.
 
Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan tersebut adalah rentetan daripada sesi libat urus bersama peniaga yang telah diadakan pada 17 November 2025 yang lalu.
 
“Melalui sesi libat urus tersebut, kita sudah menyarankan kepada para penjaja yang terlibat supaya mematuhi kesemua syarat yang telah ditetapkan,” katanya ketika ditemui di lapangan operasi.
 
Mengulas lanjut mengenai operasi pagi tadi, beliau memaklumkan bahawa terdapat 14 buah khemah di lokasi tersebut dan pihak MBAS telah mengambil tindakan menyita lima daripadanya.
 
“Tindakan penguatkuasaan ini diambil berpandukan dua peruntukan undang-undang, iaitu Seksyen 23 Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja dan Gerai MBAS 2010 atas kesalahan meninggalkan barang perniagaan di tapak.
 
“Peruntukan kedua yang diguna pakai di lokasi ini adalah di bawah Seksyen 46(1)(a) Akta Jalan, Parit dan Bangunan berkaitan halangan mendirikan binaan khemah atau binaan kekal di tapak awam,” jelas beliau.
 
Walau bagaimanapun, hasil perbincangan di lapangan yang melibatkan Bahagian Penguatkuasaan, Bahagian Pengurusan Pasar dan Penjaja, serta wakil persatuan penjaja, pihak MBAS bersetuju untuk memberikan budi bicara. Peniaga diberikan tempoh selama tujuh hari bermula hari ini untuk mengalih dan membersihkan sendiri struktur yang menyalahi peraturan.
 
Tegas beliau, niat utama pihak MBAS adalah untuk membantu golongan penjaja melalui proses penyusunan semula tapak perniagaan mereka.
 
“Kita mahu melihat keadaan penjaja yang sedia ada lebih sistematik serta mematuhi semua spesifikasi atau syarat-syarat yang telah MBAS tetapkan.
 
“Susulan itu, kita akan melaksanakan penyusunan semula di Taman Pelangi menggunakan konsep yang sama seperti yang telah berjaya dilaksanakan kepada penjaja-penjaja di Tandop, Taman Wira, Pantai Johor dan beberapa kawasan lain,” ujarnya.
Skip to content