MBAS LANCAR MANUAL 'NADI', PENDEKATAN BAHARU UNTUK MEMPERCEPATKAN DAN MEMUDAH CARA PROSES KELULUSAN PELAN-PELAN PEMAJUAN DI KAWASAN PENTADBIRAN MBAS
Alor Setar, 28 Jun 2026 – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) hari ini melancarkan manual “New Approval for Development Initiatives” (NADI), iaitu pendekatan baharu yang dirangka untuk mempercepatkan dan memudah cara proses kelulusan pelan-pelan pemajuan di kawasan pentadbiran MBAS iaitu di daerah Kota Setar dan daerah Pokok Sena.
Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya berkata pelaksanaan NADI oleh MBAS amat bertepatan dengan aspirasi Kerajaan Negeri Kedah yang kini sedang memperkasakan agenda Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB). Reformasi ini bertujuan mengurangkan kerenah pentadbiran yang tidak perlu, mempercepatkan proses membuat keputusan dan meningkatkan produktiviti sektor awam demi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
“MBAS mendaftarkan NADI sebagai projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) Tahun 2026 dan manual ini mempunyai enam (6) inisiatif kemudahdayaan kelulusan pembangunan. Ini menunjukkan kesungguhan MBAS untuk bergerak seiring dengan kehendak semasa serta keperluan komuniti perniagaan.”
“Antara pencapaian yang membanggakan ialah pengurangan tempoh kelulusan bangunan industri dan komersial daripada 99 hari kepada hanya 27 hari. Begitu juga bagi Kebenaran Merancang Tempoh Terhad (KMTT) berisiko rendah yang berjaya dipendekkan daripada 98 hari kepada hanya 14 hari.”
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Manual “New Approval For Development Initiatives” (NADI), MBAS dan Penyerahan Sijil Kelulusan Kebenaran Merancang Tempoh Terhad (KMTT) kepada Singhap (Kedah) Sdn. Bhd. di Kilang Singhap Keda) Sdn. Bhd., Jalan Kangkong, Alor Setar di sini, hari ini.
Hadir sama Pegawai Daerah Pokok Sena, Encik Mohammad Hasbullah Abd Hadi; Ketua WHIP Ahli Majlis MBAS, Tuan Haji Mohammad Riduan Othman; Timbalan Setiausaha MBAS, Encik Azlizam Jaafar Sidik dan Pengarah Singhap (Kedah) Sdn. Bhd., Encik Teh Beng Eong.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan Sijil Kelulusan Kebenaran Merancang Tempoh Terhad (KMTT) kepada Singhap (Kedah) Sdn. Bhd. sebagai pengiktirafan terhadap komitmen syarikat yang merupakan antara yang terawal mengemukakan Permohonan Kebenaran Merancang kepada MBAS hasil daripada pelaksanaan OPS Pemutihan Kilang-Kilang.
Datuk Bandar berkata tindakan yang diambil oleh syarikat berkenaan wajar dijadikan contoh oleh pemilik industri dan pengusaha kilang lain dalam memastikan setiap pembangunan memperoleh kelulusan perancangan yang sewajarnya serta mematuhi kehendak Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).
“Pendekatan yang diambil oleh Singhap (Kedah) Sdn. Bhd. membuktikan bahawa pematuhan terhadap peraturan perancangan bukanlah suatu beban, sebaliknya merupakan satu pelaburan jangka panjang yang memberi kepastian kepada operasi perniagaan, meningkatkan keyakinan pelabur dan menyokong pembangunan yang lebih tersusun,”ujarnya.
Dalam usaha memperkukuhkan budaya pematuhan terhadap peraturan perancangan, MBAS telah bersetuju memberikan peluang kepada pemilik premis industri dan komersial sedia ada seperti bengkel, gudang dan stor untuk mengemukakan permohonan Kebenaran Merancang sehingga 31 Disember 2026 dengan pertimbangan insentif diskaun kompaun.
Pendekatan ini bukan bertujuan menggalakkan ketidakpatuhan, sebaliknya memberi ruang dan peluang kepada pemilik premis untuk tampil secara sukarela bagi mengesahkan status pembangunan masing-masing serta mematuhi kehendak perundangan yang berkuat kuasa. Kemudahan yang sama turut diperluaskan kepada pemilik rumah kediaman yang telah menjalankan aktiviti perniagaan di premis masing-masing tanpa kelulusan perancangan yang sewajarnya.
