MBAS SERBU PREMIS INDUSTRI DIJADIKAN SEKOLAH WARGA ROHINGYA DI SHAHAB PERDANA, ALOR SETAR
Alor Setar, 2 Julai 2026 – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melalui Bahagian Penguatkuasaan MBAS dan Jabatan Perancangan Pembangunan telah mengadakan serbuan ke atas sebuah premis industri susulan isu yang tular di media sosial baru-baru ini berhubung dakwaan kewujudan sebuah sekolah yang dikendalikan untuk warga Rohingya di kawasan Kompleks Perniagaan Shahab Perdana, di sini, hari ini. Pemeriksaan telah dilaksanakan bagi mengesahkan maklumat serta menilai pematuhan premis terhadap peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Hasil siasatan mendapati sebuah premis industri di kawasan berkenaan telah disewakan kepada warga Rohingya dan digunakan sebagai sebuah sekolah yang menempatkan seramai 26 kanak-kanak warga Rohingya yang menetap di kawasan berhampiran. Siasatan turut mendapati yuran sebanyak RM100 sebulan dikenakan kepada setiap pelajar.
Susulan penemuan itu, Bahagian Penguatkuasaan MBAS telah merekodkan butiran pemilik premis dan penyewa bagi tujuan siasatan lanjut serta tindakan bersama agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing.
Kes berkenaan akan diambil tindakan atas kesalahan salah guna premis industri dan akan dirujuk kepada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah berhubung pengoperasian institusi pendidikan tanpa kebenaran, serta Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah bagi penelitian terhadap status permit warga asing yang terlibat.
MBAS akan terus komited bagi memastikan setiap premis di dalam kawasan bandaraya Alor Setar mematuhi syarat penggunaan yang diluluskan serta segala peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa demi menjaga ketenteraman awam dan kepentingan masyarakat.
