10 Julai 2026 – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) terus memperkukuh komitmen dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi penyertaan dalam Sesi Libat Urus Pemantapan Penyeragaman Proses dan Prosedur Kelulusan Pembangunan di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berlangsung di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim, YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, hadir dalam sesi libat urus yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, serta turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Wira Dr. M Noor Azman bin Taib.

Turut hadir bersama delegasi MPKK ialah Pengarah Jabatan Perancangan dan Landskap, Pengarah Jabatan Kawalan Bangunan serta Pengarah Unit Pusat Sehenti (OSC) MPKK.

Sesi libat urus ini bertujuan menilai keberkesanan proses dan prosedur kelulusan pembangunan di PBT, di samping mengenal pasti isu, cabaran serta ruang penambahbaikan ke arah penyelarasan pelaksanaan yang lebih seragam di seluruh negara.

Penyertaan MPKK dalam sesi ini mencerminkan komitmen pihak majlis dalam memperkukuh tadbir urus serta memastikan proses penyampaian perkhidmatan berkaitan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, telus dan konsisten.

Perbincangan turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan pelaksanaan Manual OSC 3.0 Plus dan Sistem OSC 3.0 Plus Online melalui pandangan serta maklum balas daripada Kerajaan Negeri, PBT, agensi teknikal dan pihak berkepentingan bagi mempertingkat keberkesanan sistem kelulusan pembangunan.

MPKK akan terus menyokong usaha penambahbaikan yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam mempertingkat kualiti penyampaian perkhidmatan awam, selaras dengan aspirasi pembangunan mampan dan kesejahteraan komuniti setempat.

Klik untu gambar sekitar program

#MajlisPerbandaranKulim

Skip to content