13 Julai 2026 – Majlis Apresiasi Anugerah Kecemerlangan Tahun 2025 dan Hi-Tea Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) telah berlangsung dengan meriah di Dewan Bandaran, Kulim.

Bertemakan “Dedikasi Dihargai, Prestasi Dijulang”, majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada warga kerja MPKK yang telah menunjukkan komitmen, dedikasi dan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2025.

YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK, hadir menyempurnakan majlis dengan menyampaikan ucapan penghargaan serta anugerah kepada para penerima. Turut hadir ialah Tuan Haji Badrul Hisam bin Md Yusof, Ketua Whip Ahli Majlis; Puan Noorul Azyyati binti Ahmad Salmi, Setiausaha MPKK; serta TPr. Tuan Haji Hamzah bin Abd Halim, mantan Pengarah Jabatan Perancangan dan Landskap MPKK. Majlis turut dihadiri oleh barisan Ahli Majlis, para pengarah jabatan dan warga kerja MPKK.

Dalam ucapannya, YBhg. Dato’ Yang Dipertua menyeru seluruh warga MPKK agar terus bekerjasama sebagai sebuah pasukan bagi mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan. Budaya kerjasama, sikap saling menghormati dan menghargai antara satu sama lain perlu terus diperkukuh bagi mewujudkan persekitaran kerja yang harmoni, produktif dan cemerlang.

Beliau turut menjelaskan bahawa majlis ini diadakan bagi meraikan warga MPKK yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2025. Penghargaan turut diberikan kepada warga kerja yang bakal bersara pada tahun ini sebagai tanda mengenang segala jasa, khidmat bakti dan pengorbanan mereka kepada organisasi.

Antara anugerah yang disampaikan ialah Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Kepimpinan, Anugerah Integriti, Anugerah Jasa dan Anugerah Khas Personel MySTEP.

Khusus buat para penerima anugerah, teruskan menyemarakkan semangat dan menjadi sumber inspirasi kepada warga kerja yang lain. Jadikan pengiktirafan ini sebagai pemacu untuk terus melakar kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.

Buat seluruh keluarga besar MPKK, marilah kita menjadikan momentum ini sebagai pembakar semangat untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik. Apabila kita bekerja berteraskan keikhlasan, kerjasama dan dedikasi, hasilnya bukan sahaja memberikan kepuasan kepada diri sendiri, malah menyumbang kepada pembangunan bandar Kulim yang makmur, sejahtera dan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.

Tahniah kepada semua penerima anugerah dan selamat bersara serta selamat maju jaya kepada warga kerja yang bakal menamatkan perkhidmatan!

Klik untuk gambar sekitar program

#MajlisPerbandaranKulim

#anugerahkecemerlangan2025

Skip to content