




19 Julai 2026 – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) telah mengadakan Sesi Libat Urus Program Pemutihan Chalet dan Tapak Perkhemahan di kawasan Sungai Sedim bersama 19 wakil pengusaha chalet serta tapak perkhemahan.
Sesi berbentuk town hall ini diadakan bagi memberi penerangan berkaitan keperluan permohonan Kebenaran Merancang (KM) bagi memastikan aktiviti penginapan dan perkhemahan yang dijalankan mematuhi peraturan pembangunan serta aspek keselamatan.
Pihak Majlis turut menjelaskan kepentingan status pembangunan yang sah bagi membantu pengusaha dalam urusan permohonan peruntukan menaik taraf kemudahan pelancongan, selain menjadi dokumen sokongan penting dalam urusan perlindungan dan tuntutan insurans.
Aspek keselamatan turut diberi penekanan memandangkan kebanyakan tapak operasi di Sungai Sedim berada berhampiran sungai, kawasan berbukit dan cerun. Penilaian teknikal serta kawalan keselamatan yang baik amat penting bagi memastikan keselamatan pengunjung dan pengusaha sentiasa terjamin.
Melalui sesi libat urus ini, pihak Majlis turut mendapatkan maklum balas serta memahami cabaran sebenar yang dihadapi oleh pengusaha. Pandangan yang diterima akan dijadikan pertimbangan dalam memastikan pelaksanaan Program Pemutihan dilaksanakan secara lebih tersusun, praktikal dan mengambil kira keadaan setiap tapak.
Komitmen bersama ke arah industri pelancongan Sungai Sedim yang lebih selamat, teratur dan mampan.