KAWAL INFESTASI LALAT, PERKUKUH KUALITI HIDUP RAKYAT
Telah berlangsungnya Majlis Perasmian Kempen Kawalan Infestasi Lalat di Pasar Awam Sri Tanjung, Sungai Petani, Kedah bermula jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari. Program ini dianjurkan sebagai usaha meningkatkan tahap kebersihan kawasan pasar, mengawal infestasi lalat serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang bersih, selamat dan kondusif kepada peniaga serta pengunjung. Kempen seumpama ini turut menyokong usaha berterusan pihak berkuasa tempatan dalam mengurangkan risiko penularan penyakit bawaan vektor melalui amalan kebersihan yang berkesan.
Majlis telah disempurnakan oleh Tuan Setiausaha Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Encik Mohamad Hilmi bin Marzuki. Turut hadir memeriahkan program ialah Ahli Majlis MPSPK Zon 11, Encik Mohd Firdaus bin Mohtar dan Ahli Majlis MPSPK Zon 12, Encik Mohd Syafik bin Hassan.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah diadakan termasuk gotong-royong membersihkan kawasan Pasar Awam Sri Tanjung yang melibatkan tenaga kerja daripada E-Idaman Environment Sdn. Bhd., SWCorp, kakitangan Jabatan Kesihatan serta warga kerja MPSPK. Selain itu, turut diadakan pameran reruai daripada pelbagai agensi kerajaan yang memberi pendedahan kepada pengunjung berkaitan aspek kebersihan, kesihatan awam, pengurusan sisa pepejal dan penjagaan alam sekitar. Pengunjung juga berpeluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara percuma yang disediakan oleh Klinik Kesihatan, sekali gus menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan membuat saringan kesihatan secara berkala.
Bagi menyemarakkan lagi kempen ini, Pertandingan Gerai Terbersih turut dianjurkan sebagai galakan kepada para peniaga untuk mengekalkan amalan kebersihan yang tinggi di premis masing-masing. Hadiah telah disampaikan kepada tiga (3) pemenang utama dan lima (5) penerima hadiah saguhati sebagai penghargaan atas usaha dan komitmen mereka dalam menjaga kebersihan gerai.
Tahniah diucapkan kepada Encik Shahizat bin Rosly, Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran serta warga kerja MPSPK yang terlibat secara langsung atau tidak dalam menjayakan kempen ini. Penganjuran kempen ini diharap dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan peniaga dan masyarakat mengenai kepentingan kebersihan persekitaran, seterusnya menjadikan Pasar Awam Sri Tanjung sebagai sebuah pasar yang bersih, sihat, selesa dan bebas daripada infestasi lalat demi kesejahteraan semua. Kerjasama erat antara MPSPK, agensi-agensi kerajaan, para peniaga dan masyarakat amat penting dalam memastikan usaha memelihara kebersihan dapat dilaksanakan secara berterusan dan berkesan.
Klik untuk gambar sekitar program.












