2 Ogos 2026 – YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara, hari ini mengadakan lawatan kerja ke AT&S Malaysia, Kulim, dalam satu program rasmi yang menghimpunkan kepimpinan Kerajaan Persekutuan, pentadbiran daerah, pihak berkuasa tempatan dan pengurusan industri.

Lawatan ini memberi ruang kepada Ketua Setiausaha Negara untuk meninjau kemudahan dan operasi fasiliti berteknologi tinggi secara lebih dekat, di samping mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai ekosistem perindustrian berteknologi tinggi yang berkembang pesat di Daerah Kulim.

Selain itu, lawatan ini turut membolehkan pelaksanaan Permit Pembinaan Ekspres (E10) yang diterajui oleh MPKK dinilai secara lebih dekat, khususnya dari aspek keberkesanan dalam memudah cara pembangunan serta pelaburan strategik yang signifikan, susulan kejayaan MPKK menerima Anugerah Khas Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) menerusi inisiatif tersebut.

Kunjungan YBhg. Tan Sri Ketua Setiausaha Negara ke AT&S Malaysia memberi ruang kepada beliau untuk meninjau sendiri pelaksanaan dan impak E10 dalam menyokong pembangunan industri berskala besar. Lawatan ini turut mencerminkan sokongan Kerajaan Persekutuan terhadap usaha reformasi penyampaian perkhidmatan di peringkat pihak berkuasa tempatan, khususnya dalam mewujudkan ekosistem pelaburan yang lebih cekap, responsif dan berdaya saing.

YBhg. Tan Sri Ketua Setiausaha Negara berkata bahawa lawatan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memastikan Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan berteknologi tinggi yang diyakini oleh pelabur global. Kejayaan pembangunan industri seperti AT&S Kulim membuktikan bahawa kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan dan sektor swasta mampu mempercepat pelaksanaan pelaburan strategik, di samping mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat.

“MPKK komited untuk terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan melalui pelaksanaan Permit Pembinaan Ekspres (E10) serta penambahbaikan proses pembangunan yang lebih cekap dan responsif. Lawatan ini menjadi pengiktirafan terhadap usaha berterusan MPKK dalam mewujudkan persekitaran pelaburan yang kondusif serta menyokong aspirasi Kulim sebagai hab industri berteknologi tinggi bertaraf dunia,” menurut Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim Kedah.

Naib Presiden Kanan Dan Pengarah Urusan AT&S Malaysia, Puan Yap Suan See berkata, “AT&S amat menghargai usaha berterusan kerajaan serta rakan strategik dalam memudah cara pelaburan strategik melalui inisiatif seperti E10. Kecekapan penyampaian perkhidmatan memberi impak nyata kepada pelaksanaan projek berskala besar dan membolehkan syarikat merealisasikan pelaburan mengikut perancangan. Kami percaya ekosistem yang pantas, telus dan berdaya saing seperti ini akan terus menarik pelaburan berkualiti tinggi serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri semikonduktor di rantau ini.”

Turut hadir ialah Encik Mohamad Rizal bin Mohamad Radzi, Pegawai Daerah Kulim; Puan Sunita binti Abdul Aziz, Yang Dipertua PBT Hi-Tech; dan Dato’ Haji Mohd Sahil Zabidi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTPC; Puan Noorul Azyyati binti Ahmad Salmi, Setiausaha MPKK, di samping pengarah-pengarah jabatan serta wakil pengurusan AT&S Malaysia.

Klik untuk gambar sekitar program

#MajlisPerbandaranKulim

Skip to content