Majlis Daerah Bandar Baharu (MDBB) merupakan salah satu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang telah dipilih untuk sesi lawatan turun padang oleh Panel Penilai Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (SPB-PBT) Tahun 2026.
Sesi pengauditan ini telah diadakan di Bilik Mesyuarat MDBB, bermula pada jam 9.00 pagi. Sesi dimulakan dengan taklimat ringkas yang disampaikan oleh Yang Berusaha Tuan Setiausaha Majlis Daerah Bandar Baharu, Encik Muhamad Amin bin Jaafar.
Sesi seterusnya diteruskan dengan ucapan pembukaan SPB-PBT oleh Ketua Panel Penilai, Puan Masila binti Abd Rasid dari Bahagian Perunding Kejuruteraan Awam, Jabatan Kerajaan Tempatan. Beliau hadir bersama-sama enam (6) orang Panel Penilai bagi melaksanakan sesi penilaian dan pengauditan di MDBB.
Yang Berbahagia Puan Noor Shaadah Binti Ahmad, AMK., BCK., Yang Dipertua Majlis Daerah Bandar Baharu, turut berkesempatan meluangkan masa untuk berjumpa dan beramah mesra bersama-sama pasukan Panel Penilai SPB-PBT. Pertemuan tersebut turut menjadi ruang untuk bertukar pandangan serta memperkukuh hubungan kerjasama antara pihak MDBB dan Panel Penilai.
Pihak Majlis Daerah Bandar Baharu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua Panel Penilai atas kesudian hadir serta menjalankan sesi penilaian. Ucapan penghargaan turut ditujukan kepada seluruh warga kerja MDBB atas kerjasama, komitmen dan sokongan yang diberikan bagi memastikan sesi pengauditan berjalan dengan lancar dan teratur.

















