20 Ogos 2026 – Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Jubli Perak Majlis Perbandaran Kulim (MPKK), satu Majlis Bacaan Yasin telah diadakan di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Taman Kenari.

Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim, Dato’ Haji Elmi bin Yusoff. Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan pengiktirafan kepada barisan kepimpinan serta warga kerja terdahulu yang telah mencurahkan khidmat bakti, tenaga dan usaha dalam membangunkan Majlis Perbandaran Kulim sehingga mencapai pelbagai kejayaan serta menyumbang kepada kemajuan Daerah Kulim sebagaimana yang dapat disaksikan pada hari ini.

Beliau turut mengajak seluruh hadirin, khususnya muslimin dan muslimat, untuk bersama-sama menghayati bacaan Surah Yasin serta memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT agar Daerah Kulim sentiasa berada dalam limpahan rahmat, keberkatan dan perlindungan-Nya, di samping terus dikurniakan kesejahteraan, kemakmuran dan kemajuan yang berterusan.

Seterusnya, bacaan Surah Yasin telah dipimpin oleh Imam merangkap Pengerusi Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Ustaz Ahmad Faisal Fakhri bin Sakri.

Turut hadir ialah Tuan Haji Badrol Hisam bin Mohd Yusoff, Ketua Whip Ahli Majlis MPKK; Puan Noorul Azyyati binti Ahmad Salmi, Setiausaha Majlis Perbandaran Kulim; Ahli-ahli Majlis MPKK; Pengarah-pengarah Jabatan MPKK serta warga kerja MPKK.

Penganjuran majlis ini merupakan antara pengisian sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Jubli Perak Majlis Perbandaran Kulim, selain menjadi wadah untuk seluruh warga MPKK menzahirkan rasa kesyukuran atas segala pencapaian dan kemajuan yang telah dikecapi sepanjang 25 tahun penubuhannya.

Di samping itu, penganjuran Majlis Bacaan Yasin ini juga bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul dan Bulan Kebangsaan, sebagai pengisian kerohanian serta menyemarakkan semangat kecintaan kepada agama dan negara.

Semoga Majlis Perbandaran Kulim terus dipermudah dalam melaksanakan amanah, memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta memacu pembangunan perbandaran yang mampan demi kesejahteraan seluruh komuniti di Daerah Kulim.

Klik untuk gambar sekitar program

#MajlisPerbandaranKulim

#kulimindahbersihmajuselamat

Skip to content