


PUTRAJAYA, 21 Ogos – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) menerusi kumpulan PLAN XPRESS muncul sebagai pemenang Diamond Award for Urban Innovation, anugerah tertinggi PLAN-AI Hackathon 2026, hasil pembangunan Sistem Semakan Pantas.
Kejayaan itu turut disertai tiga anugerah lain iaitu Gold Master Kategori Sektor Awam, Gold Master Best AI Excellence Award serta Silver Master Best Town Planning Innovation Award, menjadikan PLAN XPRESS antara kumpulan paling cemerlang dalam hackathon tersebut.
PLAN-AI Hackathon 2026 berlangsung dari 19 hingga 20 Ogos di Dewan Damar Sari, Kompleks F, Putrajaya, menghimpunkan 24 kumpulan yang bertanding dalam dua trek iaitu AI Solution Challenge dan Geospatial & Satellite AI Challenge. Setiap kumpulan diberi tempoh sekitar 24 jam untuk membangunkan prototaip penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan, data perancangan dan maklumat geospatial.
Anugerah disampaikan oleh YBhg Datuk TPr Dr. Alias bin Rameli, Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa merangkap Pengerusi Lembaga Perancang Bandar Malaysia (LPBM), pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Anugerah PLAN-AI Hackathon 2026.
Hackathon ini dianjurkan oleh Lembaga Perancang Bandar Malaysia (LPBM) dan dilaksanakan oleh PLAN-Ai, PLANMalaysia dengan kerjasama Malaysian Institute of Planners (MIP) serta UZMA Group sebagai rakan strategik.
Kredit gambar : Media Plan Malaysia