31 Ogos 2026 – Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Kontinjen Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) atas kejayaan cemerlang dinobatkan sebagai JUARA ANTARA JUARA dalam Istiadat Perbarisan dan Perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Kedah Darul Aman Tahun 2026 yang berlangsung di Dataran Medan Bandar, Alor Setar.

Kejayaan penuh bermakna ini diraih selepas MPKK terlebih dahulu muncul sebagai Johan Kategori Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Badan Berkanun dan Swasta, sebelum mencatat markah tertinggi dalam kalangan juara setiap kategori yang dipertandingkan, sekali gus melayakkan MPKK dinobatkan sebagai Juara Antara Juara.

Pada tahun ini, sebanyak 96 kontinjen mengambil bahagian dalam perbarisan dan perarakan yang menghimpunkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun, sektor swasta, persatuan, pertubuhan, institusi pendidikan serta badan beruniform.

Bagi kategori yang dipertandingkan, Kadet Remaja Sekolah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Bahiyah muncul Johan Kategori Badan Beruniform Institusi Pendidikan, Kolej, IPTA/IPTS, manakala Persatuan Bekas 9 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) memenangi Kategori Persatuan/NGO/Pertubuhan/Kelab.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) muncul Johan Kategori PBT, Badan Berkanun dan Swasta, dengan hadiah kemenangan disampaikan oleh Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah turut berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang Kategori Kerajaan yang dimenangi oleh Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Kedah. Kategori Kontinjen Paling Menarik pula dimenangi oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA), manakala gelaran tertinggi Juara Antara Juara menjadi milik MPKK.

Johan bagi setiap kategori membawa pulang piala iringan dan wang tunai berjumlah RM3,000, manakala MPKK selaku Juara Antara Juara turut membawa pulang piala pusingan, piala iringan serta wang tunai RM3,000.

Hadiah kemenangan Juara Antara Juara telah diterima oleh Yang Berbahagia Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim, diiringi Puan Noorul Azyyati binti Ahmad Salmi, Setiausaha Majlis Perbandaran Kulim dan Encik Badrulhilmi bin Sulaiman, Pengarah Jabatan Penguatkuasaan.

Kejayaan ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan serta menjadi manifestasi kepada semangat berpasukan, disiplin, komitmen dan kesungguhan seluruh warga MPKK dalam membawa nama Majlis Perbandaran Kulim Kedah ke tahap yang lebih membanggakan.

Syabas dan tahniah kepada seluruh anggota Kontinjen MPKK serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan penyertaan ini.

Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada seluruh warga MPKK untuk terus mencipta lebih banyak kejayaan dan melakar kecemerlangan yang lebih gemilang pada masa hadapan.

𝑻𝑨𝑯𝑵𝑰𝑨𝑯 𝑴𝑷𝑲𝑲, 𝑱𝑼𝑨𝑹𝑨 𝑨𝑵𝑻𝑨𝑹𝑨 𝑱𝑼𝑨𝑹𝑨!

#MajlisPerbandaranKulim#JuaraAntaraJuara

Skip to content