Majlis Daerah Yan telah melaksanakan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pegawai Perhubungan Kawasan bertempat di Senjana Glamping Resort, Tanjung Jaga, Yan pada 23 Ogos 2026.
Pelantikan ini merupakan satu inisiatif strategik Majlis Daerah Yan dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat, meningkatkan keberkesanan pemantauan kawasan serta mempercepatkan tindakan terhadap isu dan aduan setempat.
Pegawai Perhubungan Kawasan berperanan sebagai penghubung antara pihak Majlis dengan komuniti setempat, khususnya dalam menjalin kerjasama bersama Majlis Ketua Kampung (MKK), ketua kampung, pemimpin masyarakat, NGO serta persatuan penduduk. Peranan ini turut melibatkan penyelarasan tindakan jabatan teknikal, bantuan sosial serta perkara berkaitan kebajikan masyarakat.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen Majlis Daerah Yan untuk terus mendekati masyarakat, memperkasakan peranan Penghulu serta mempertingkatkan tadbir urus dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam demi kesejahteraan seluruh warga daerah Yan.
Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada lima (5) orang Pegawai Perhubungan Kawasan yang telah dilantik:
Encik Ahmad Shauki bin Shaari
Penghulu Mukim Sala Besar
Encik Mokhairuddin bin Mahamad
Penghulu Mukim Yan
Encik Zulkifle bin Omar, PCK
Penghulu Mukim Sungai Daun
Encik Mohd Asri bin Daud
Penghulu Mukim Dulang
Encik Nazri bin Ahmad
Penghulu Mukim Singkir
Semoga pelantikan ini dapat dilaksanakan dengan penuh amanah, dedikasi dan komitmen, seterusnya menjadi pemangkin kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, responsif, proaktif dan mesra rakyat di seluruh kawasan pentadbiran Majlis Daerah Yan.
Tahniah dan selamat menjalankan amanah. ![]()
