LAWATAN TAPAK PROJEK REVITALISASI WARISAN DAN KELESTARIAN ALAM SEKITAR DI TANJUNG CHALI
Alor Setar, 2 Ogos 2026 – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah mengadakan lawatan tapak ke Kawasan Rekreasi Tanjung Chali baru-baru ini bagi meninjau perkembangan pelaksanaan Projek Revitalisasi Warisan dan Kelestarian Alam Sekitar yang diterajui oleh pasukan The Heritage Guardians dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Bahiyah.
Lawatan tersebut diketuai oleh Setiausaha MBAS, Encik Mohamad Shahuri Mohamad Norlin sebagai tanda sokongan terhadap penyertaan sekolah berkenaan dalam Pertandingan Toyota Eco Youth (TEY) Peringkat Kebangsaan 2026. Hadir sama Pengetua SMK Sultanah Bahiyah, YBhg. Datin Hajah Nurul Aznim Mohd Razalli; pegawai-pegawai agensi dan guru-guru sekolah terlibat.
Projek berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama strategik pelbagai agensi dan organisasi termasuk SWCorp, E-Idaman Sdn. Bhd., Syarikat Air Darul Aman (SADA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pempengaruh tempatan Mahdzir Hasan Det serta Syarikat Mécho sebagai rakan penaja.
Inisiatif ini memberi tumpuan kepada usaha kelestarian alam sekitar dan pemuliharaan warisan di sepanjang laluan bersejarah Terusan Wan Mat Saman, Tanjung Chali. Antara objektif utamanya adalah menceriakan semula kawasan rekreasi dan pelancongan melalui penglibatan komuniti, institusi pendidikan, agensi kerajaan, rakan strategik dan pihak penaja.
Usaha ini membuktikan komitmen bersama antara pihak berkuasa tempatan, institusi pendidikan, agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat dalam memperkasakan kawasan pelancongan Bandaraya Alor Setar. Kerjasama ini bukan sahaja menyokong pembangunan komuniti yang mampan, malah memperkukuh usaha pemeliharaan warisan serta kelestarian alam sekitar demi manfaat generasi akan datang.
