SESI PENILAIAN AKHIR TANDAS AWAM ARAS 2 UTC KEDAH DAN TANDAS MASJID AL-HUDA KAMPUNG BUKIT PAK KIAU SEMPENA PERTANDINGAN TOILET OF THE YEAR AWARDS (TOTYA) 2026

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 13 Ogos 2026 – Dua tandas awam dari bandar raya Alor Setar berjaya melangkah ke sesi penjurian saringan akhir selepas masing-masing tersenarai dalam kelompok lima terbaik (Top 5) bagi Toilet of the Year Awards (TOTYA) 2026 anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
 
Sesi penjurian saringan akhir yang berlangsung pagi semalam melibatkan Tandas Awam Aras 2, Bangunan UTC Kedah bagi kategori Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Tandas Masjid Al-Huda, Kampung Bukit Pak Kiau, Pokok Sena bagi kategori Rumah Ibadat.
 
Sesi berkenaan dihadiri tiga panel penilai iaitu Exco Kebangsaan Persatuan Bilik Air Berkualiti Malaysia (QRAM), Encik Nor Azman bin Amat Kalam; Encik Zulkifli bin Mohammad dari KPKT serta Puan Rohana binti Rahmat dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
 
Turut hadir Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya; Setiausaha MBAS, Encik Mohamad Shahuri Mohamad Norlin; Ahli-Ahli Majlis MBAS; Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran MBAS, Tuan Haji Bohari Md Yusof; Imam Masjid Al-Huda, Ustaz Haji Ayob Haji Hanapi serta wakil agensi, persatuan, komuniti dan pegawai-pegawai yang terlibat.
 
Pertandingan Toilet of The Year Award (TOTYA) 2026 merupakan inisiatif KPKT bagi mengiktiraf tandas bertaraf Bersih, Menawan dan Wangi (BMW). Sebanyak lapan kategori tandas awam yang dipertandingkan pada tahun ini iaitu kategori Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Sekolah, Restoran, Hotel, Stesen Minyak, Pusat Beli-Belah, Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan Rumah Ibadat.
 
Pencapaian dua tandas tersebut dalam kelompok Top 5 bagi dua kategori berbeza itu mencerminkan komitmen berterusan pihak MBAS bersama rakan strategik, komuniti dan pihak berkepentingan dalam memastikan kemudahan awam yang disediakan sentiasa bersih, selesa, selamat dan berkualiti.
 
MBAS berharap sesi penjurian saringan akhir tersebut dapat membuahkan satu lagi kejayaan kepada bandar raya Alor Setar, sekali gus mengharumkan nama bandaraya Alor Setar dan Negeri Kedah di peringkat kebangsaan.
 
Pihak MBAS turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga kerja MBAS, pihak pengurusan Masjid Al-Huda, rakan strategik, agensi kerajaan, persatuan, komuniti serta semua pihak yang telah memberikan komitmen dan kerjasama dalam menjayakan usaha meningkatkan kualiti tandas awam.
 
 
Skip to content