MAJLIS SOFT LAUNCHING ISUZU 16TH 916 CYCLE FOR HEALTH & ENVIRONMENT 2026

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Klang, 17 Ogos 2026 — Program Isuzu 16th 916 Cycle for Health & Environment 2026 yang bakal berlangsung di Alor Setar pada 5 September depan diyakini mampu menjadi platform memperkukuh amalan gaya hidup sihat selain merancakkan ekonomi pelancongan bandaraya Alor Setar.
 
Majlis Soft Launching program tersebut telah berlangsung di Dewan Hamzah, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan telah disempurnakan Datuk Bandar Klang merangkap Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA), YBhg. Dato’ Haji Abdul Hamid Hussain.
 
Program berkenaan yang memasuki edisi ke-16 akan diadakan sempena Alor Setar Car Free Saturday, dengan peserta dijadualkan menyertai kayuhan sejauh 60 kilometer merentasi bandar raya Alor Setar.
 
Abdul Hamid berkata program itu bukan sekadar acara berbasikal, sebaliknya menjadi wadah mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, di samping menyokong dan merancakkan lagi pelaksanaan Alor Setar Car Free Saturday.
 
“Program Isuzu 16th 916 Cycle for Health & Environment ini telah memasuki edisi ke-16 dan akan berlangsung pada 5 September 2026, membawa peserta dengan kayuhan sejauh 60 kilometer merentasi bandar Alor Setar.
 
“Ia bukan sekadar acara berbasikal biasa, sebaliknya merupakan platform untuk mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, di samping menyokong dan merancakkan lagi Program Alor Setar Car Free Saturday,”.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis berkenaan. Hadir sama Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Abdul Gafar bin Yahya; Chief Operating Officer of Commercial Vehicle Division, Isuzu Malaysia Sdn. Bhd, Encik Masashi Nuijima; Tuan Setiausaha MBAS, Encik Mohamad Shahuri Mohamad Norlin; General Manager Isuzu Malaysia Sdn. Bhd., Puan Jennifer Tan; Ahli Majlis MBAS, Dato’ Ch’ng Boon Chye; Pengarah Urusan Indah Utara Auto Sdn Bhd, Encik Poh Cheng Hai; Captain Alor Setar LM Bikers Club, Encik Fong Chan Hap serta wakil-wakil PBT dan kelab-kelab basikal.
 
Menurut beliau, program tersebut turut berpotensi memberikan impak positif terhadap ekonomi tempatan susulan penyertaan peserta dari pelbagai negeri termasuk dari luar negara.
 
Katanya, kehadiran peserta berkenaan secara tidak langsung memberi manfaat kepada sektor perhotelan, restoran, pengangkutan serta peniaga kecil di sepanjang laluan kayuhan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi pelancongan dan pembangunan komuniti setempat.
 
“Program ini juga menjadi wadah untuk menanamkan semangat kesukanan, disiplin diri serta merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
 
“Saya percaya, usaha murni ini selari dengan hasrat kerajaan untuk membudayakan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.
 
Pada masa sama, beliau turut menjemput Datuk Bandar dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain untuk menyertai Isuzu 16th Cycle for Health, sekali gus memeriahkan program berkenaan serta memperluas manfaatnya kepada rakyat di seluruh negara.
 
Sebagai Presiden MALA, Abdul Hamid turut menyeru ahli-ahli persatuan itu supaya setiap PBT untuk menyertai program berkenaan, sekali gus mengukuhkan semangat kerjasama dan jaringan antara PBT di seluruh negara.
 
“Saya selaku Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA), juga ingin menyeru kepada ahli-ahli MALA agar setiap Pihak Berkuasa Tempatan dapat menghantar seramai lima orang peserta untuk menyertai program ini, sekali gus mengukuhkan lagi semangat kerjasama antara pihak berkuasa tempatan di seluruh negara,” katanya.
 
Beliau turut berharap Isuzu 16th 916 Cycle for Health & Environment 2026 dapat dilaksanakan dengan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan, selain terus menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan komuniti penggiat basikal di negara ini.
 
Program berkenaan dijangka menghimpunkan peserta dari dalam dan luar negara bagi menyemarakkan budaya berbasikal, menggalakkan gaya hidup aktif serta memperkenalkan Alor Setar sebagai destinasi pelancongan sukan yang kondusif untuk aktiviti rekreasi dan pelancongan berasaskan komuniti.
 
PENDAFTARAN ONLINE ISUZU 16TH 916 CYCLE FOR HEALTH & ENVIRONMENT 2026 :
 
SEBARANG PERTANYAAN :
☎️ 013-451 5555
 
Skip to content