TUAN SETIAUSAHA MBAS HADIR SEMPURNAKAN MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN SMKA KEDAH

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 22 Ogos 2026 — Tuan Setiausaha Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Encik Mohamad Shahuri Mohamad Norlin telah hadir mewakili Datuk Bandar Alor Setar bagi menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah yang berlangsung di Dewan Dato’ Sheikh Abd Hamid, SMKA Kedah.
 
Penganjuran majlis berkenaan menjadi wadah bagi mengiktiraf serta meraikan pencapaian para pelajar yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik, kokurikulum dan pelbagai bidang lain, selain menjadi pemangkin kepada mereka untuk terus berusaha mencapai kejayaan lebih tinggi.
 
Dalam ucapannya, Tuan Setiausaha merakamkan ucapan tahniah kepada pihak SMKA Kedah atas penganjuran majlis berkenaan yang disifatkan sebagai satu usaha penting dalam memberi dorongan dan motivasi kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.
 
“Saya percaya sambutan Majlis Anugerah Kecemerlangan yang diadakan pada hari ini adalah selari dengan matlamat memberi dorongan dan memotivasikan para pelajar agar terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam semua bidang.
 
“Semoga majlis seumpama ini dapat diadakan secara berterusan pada masa-masa akan datang untuk pelajar yang cemerlang dan pelajar yang mendapat sebarang peningkatan atau kemajuan semasa berada di sekolah,” katanya.
 
Beliau pada masa sama mengambil kesempatan untuk menyampaikan ucapan syabas dan tahniah kepada para pelajar yang menerima anugerah atas pencapaian masing-masing, selain mengingatkan mereka supaya tidak berasa selesa dengan kejayaan yang telah dicapai.
 
“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah kepada pelajar-pelajar yang akan menerima hadiah nanti atas pencapaian mereka dan diharapkan pencapaian kecemerlangan tersebut tidak berakhir di sini sahaja. Teruskanlah kecemerlangan itu sampai bila-bila,” katanya.
 
Menurut beliau, kejayaan yang dicapai perlu dijadikan pemangkin untuk terus meningkatkan potensi diri, khususnya dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin berkembang dan memerlukan generasi muda sentiasa bersedia meneroka ilmu baharu.
 
“Hakikatnya, kita sedang menghadapi pelbagai cabaran baharu yang menuntut supaya kita sentiasa meneroka ilmu terkini, melakukan inovasi dan berusaha untuk melangkaui sempadan kecemerlangan kerana dunia di luar sana lebih luas dan perjalanan masih jauh,” katanya.
 
Dalam perkembangan sama, Tuan Setiausaha turut menyentuh aspek kebersihan perbandaran dan menyeru warga SMKA Kedah untuk bersama-sama MBAS menyokong usaha membudayakan kebersihan dalam kehidupan seharian.
 
Beliau berkata kebersihan bukan hanya tanggungjawab PBT, sebaliknya merupakan amanah bersama yang perlu dipikul seluruh masyarakat bagi memastikan persekitaran bandar sentiasa bersih, selesa dan harmoni.
 
“Apabila Yang Berbahagia Datuk Bandar, saya atau pun mana-mana pegawai Majlis Bandaraya Alor Setar dijemput ke mana-mana majlis, kami sering kali menyentuh tentang kebersihan perbandaran antara tuntutan iman dan amanah kejiranan.
 
“Tuntutan kebersihan dalam Islam tidak hanya berhenti pada pakaian dan tubuh badan kita sahaja, bahkan ia mencakupi ruang perbandaran dan persekitaran yang kita diami bersama,” katanya.
 
Sehubungan itu, beliau mengajak warga SMKA Kedah untuk bersama-sama MBAS menyokong inisiatif Tandas BMW (Bersih, Menawan dan Wangi) yang merupakan aspirasi kerajaan, khususnya dengan memastikan tandas di sekolah dan kemudahan awam sentiasa berada dalam keadaan bersih serta digunakan secara berhemah.
 
Beliau berkata usaha membudayakan kebersihan perlu disertai dengan pengurusan sisa domestik yang betul, pengasingan bahan kitar semula, mengelakkan pembuangan sisa secara haram serta memelihara kemudahan awam daripada perbuatan vandalisme.
 
“Sesungguhnya, kebersihan bandar bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa tempatan, sebaliknya amanah seluruh masyarakat. Dengan memupuk budaya kebersihan dan menjaga kemudahan awam, kita bukan sahaja mewujudkan persekitaran yang sihat dan indah, bahkan memperoleh keredaan Allah SWT serta menjadikan Alor Setar sebuah bandar raya yang bersih, harmoni dan sejahtera,” katanya.
 
Majlis tersebut turut menjadi platform untuk MBAS memperkukuh jalinan kerjasama dengan institusi pendidikan dalam menyemai nilai kecemerlangan, tanggungjawab sosial serta kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan dalam kalangan generasi muda.
 
Hadir sama di majlis tersebut ialah Pegawai Pendidikan Daerah Kata Setar, YBrs. Encik Ahmadi bin Abdullah; Pengetua SMK Agama Kedah, YBrs. Tuan Haji Arpan bin Shaari; Penolong Kanan Pentadbiran SMK Agama Kedah, Ustaz Yusri Yahya; Yang Dipertua PIBG SMK Agama Kedah, Dr. Asri bin Mat Saman @ Osman, guru-guru sekolah serta pegawai-pegawai terlibat.
 
Skip to content