62 KAKITANGAN MBAS TERIMA ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG BAGI TAHUN 2025

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 24 Ogos 2026 — Seramai 62 warga kerja Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 sebagai pengiktirafan terhadap prestasi, komitmen dan dedikasi mereka dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab sepanjang tempoh perkhidmatan.
 
Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya berkata, pengiktirafan berkenaan diharap menjadi dorongan dan pembakar semangat kepada penerima untuk terus konsisten meningkatkan kecemerlangan dalam perkhidmatan, selain menjadi contoh serta mentor terbaik kepada rakan-rakan lain.
 
“Besarlah harapan saya agar pengiktirafan ini dapat menjadi dorongan dan pembakar semangat kepada saudara-saudari untuk terus meningkatkan kecemerlangan pada masa akan datang dan seterusnya menjadi mentor terbaik kepada rakan-rakan yang lain.”
 
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 MBAS bertempat di Dewan Besar As-Sakinah, Tingkat 7, Menara MBAS, di sini hari ini. Hadir sama Tuan Setiausaha MBAS, Encik Mohamad Shahuri Mohamad Norlin; -Ahli-Ahli Majlis MBAS, Timbalan Setiausaha merangkap Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan MBAS, En. Azlizam Jaafar Sidik ; Pengarah-Pengarah dan Ketua-Ketua Bahagian MBAS serta kakitangan yang terlibat.
 
Beliau berkata, pencapaian yang diiktiraf menerusi APC bukan sekadar penghargaan terhadap prestasi individu, malah mencerminkan komitmen warga kerja dalam memastikan penyampaian perkhidmatan MBAS kepada masyarakat terus berada pada tahap terbaik.
 
Dalam majlis sama, Datuk Bandar turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada 14 warga kerja MBAS yang telah dan bakal bersara pada 2026 serta 2027 atas segala jasa, khidmat bakti dan sumbangan yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan.
 
Beliau berkata, majlis berkenaan urut menjadi wadah menzahirkan sanjungan budi kepada warga kerja yang menamatkan perkhidmatan sama ada kerana mencapai umur persaraan wajib atau memilih untuk bersara secara pilihan.
 
“MBAS tentunya akan merasakan kehilangan, apatah lagi kehilangan ini membabitkan pegawai atau anggota MBAS yang kompeten, berdedikasi, berilmu tinggi dan sarat dengan pengalaman yang masih kita tagih daripada mereka.
 
“Namun, oleh kerana skim perkhidmatan awam sedemikian rupa, kita terpaksa melepaskan mereka juga untuk menikmati dunia persaraan,” katanya.
 
Mengulas aspek kelangsungan kecemerlangan organisasi, Datuk Bandar menyeru seluruh warga kerja MBAS supaya terus istiqamah dan konsisten dalam melaksanakan tugas, selain mengamalkan budaya kerja berpasukan.
 
Beliau berkata, istiqamah dalam pekerjaan tidak boleh dibina secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama erat seluruh warga organisasi yang terdiri daripada pelbagai jabatan, bahagian dan unit.
 
“Apa yang terpenting yang ingin saya sampaikan dalam majlis ini kepada warga kerja MBAS adalah untuk kita kekal istiqamah dan konsisten dalam pekerjaan kita.
 
“Kita bekerja bukan secara bersendirian. Kita bekerja dalam organisasi besar yang bernama MBAS. Ada sembilan jabatan, berpuluh bahagian dan berpuluh unit. Kita bekerja bersama-sama sebagai satu pasukan,” katanya.
 
Beliau berharap seluruh warga kerja MBAS terus istiqamah dalam melaksanakan amanah, memperkukuh kerjasama dan mengekalkan budaya kecemerlangan demi memastikan perkhidmatan kepada masyarakat sentiasa dipertingkatkan.
 
Majlis tersebut telah berlangsung dengan jayanya menerusi penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 kepada 62 warga kerja MBAS, selain penghargaan kepada 14 warga kerja yang telah dan bakal bersara serta mengenang jasa dan sumbangan warga kerja yang telah kembali ke rahmatullah. Majlis turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat MBAS 1448 Hijrah sebagai penghargaan terhadap warga kerja yang menunjukkan penghayatan, pengamalan serta sumbangan dalam menyemarakkan nilai-nilai murni dan kecemerlangan sahsiah dalam organisasi.
 
 
Skip to content