TANJUNG CHALI PUNYAI NILAI SEJARAH, AKAN TERUS DIPERKASA SEBAGAI DESTINASI REKREASI, PELANCONGAN BANDAR RAYA

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 23 Ogos 2026 — Tanjung Chali yang mempunyai nilai sejarah signifikan sebagai pusat perhubungan dan perdagangan pada awal 1900-an kini terus diperkasa sebagai antara destinasi rekreasi dan pelancongan di Bandar Raya Alor Setar.
 
Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya berkata, kedudukan Tanjung Chali amat penting dalam sejarah perkembangan bandar raya itu, khususnya apabila kawasan berkenaan menjadi titik pangkal Terusan Wan Mat Saman yang menghubungkan beberapa kawasan perdagangan utama.
 
Beliau berkata, kewujudan Terusan Wan Mat Saman turut memainkan peranan dalam menghubungkan Tanjung Chali dengan Pekan Melayu dan Pekan Cina, sekali gus menjadikan kawasan berkenaan sebagai pusat perhubungan serta perdagangan yang penting pada ketika itu.
 
“Di awal tahun 1900, di sinilah sebenarnya pusat apabila dibangunkan Terusan Wan Mat Saman dan ia berpangkal di sini. Sebab itu, kalau kita melihat kepada sejarah, Tanjung Chali ini juga menghubungkan Terusan Wan Mat Saman dan kewujudan Pekan Melayu serta Pekan Cina.
 
“Tanjung Chali ini adalah suatu pusat perhubungan dan perdagangan dalam sejarah Bandar Raya Alor Setar. Dan sekarang ini, Tanjung Chali kita jadikan sebagai satu tempat rekreasi dan juga pelancongan di Bandar Raya Alor Setar,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Revitalisasi Warisan dan Kelestarian Alam Sekitar serta Gotong-Royong Merdeka di Tanjung Chali. Hadir sama Pengetua SMK Sultanah Bahiyah, YBhg. Datin Hajah Nurul Aznim Mohd Razalli; Pengarah Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan MBAS, Encik Afizudin bin Dato’ Paduka Haji Mohd Saad, pihak penaja Goto Paperplane Design, pegawai-pegawai dan guru-guru sekolah terlibat.
 
Dalam pada itu, Datuk Bandar turut merakamkan penghargaan kepada warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Bahiyah yang mencetuskan idea dan menggerakkan projek berkenaan menerusi pendekatan kolaborasi melibatkan pelbagai pihak.
 
Menurut beliau, usaha berkenaan membuktikan bahawa golongan pelajar mampu menjadi pemangkin kepada perubahan positif menerusi idea, kreativiti dan semangat kerjasama dengan agensi kerajaan serta pihak swasta.
 
“Saya ucapkan tahniah kepada SMK Sultanah Bahiyah kerana idea anak-anak pelajar sekolah ini mencipta satu program yang bersifat kolaborasi pelbagai pihak. Bukan perkara mudah untuk menggabungkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak swasta. Tetapi berkat bimbingan pengetua dan guru-guru, perkara ini boleh terlaksana,” katanya.
 
Beliau berkata, usaha revitalisasi itu turut memberi perubahan ketara kepada kawasan Tanjung Chali yang sebelum ini kurang diberikan perhatian, namun kini kembali mempunyai nilai tarikan sebagai destinasi rekreasi.
 
Katanya, kejayaan itu menunjukkan bahawa pendekatan kolaborasi dan penglibatan komuniti mampu memainkan peranan penting dalam menghidupkan semula kawasan warisan di bandar raya berkenaan.
 
Sementara itu, beliau berkata, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) turut mengangkat cadangan pembangunan semula Tanjung Chali kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bagi memperkukuh potensi kawasan itu sebagai destinasi pelancongan dan rekreasi.
 
“MBAS telah mengangkat perkara ini kepada MOTAC untuk Tanjung Chali ini. Insya-Allah kita telah melepasi dua siri pembentangan kepada MOTAC dan kita berharap dalam pembentangan bajet oleh YAB Perdana Menteri pada Oktober nanti, terdapat peruntukan lebih kurang RM10 juta untuk pembangunan semula Tanjung Chali ini,” katanya.
 
Tambah beliau, sekiranya peruntukan berkenaan diluluskan, MBAS berhasrat membangunkan semula Tanjung Chali menerusi pelan perancangan yang komprehensif bagi menyediakan ruang rekreasi yang lebih berkualiti dan selesa untuk warga bandar raya.
 
Beliau turut berharap kejayaan SMK Sultanah Bahiyah itu menjadi contoh kepada sekolah-sekolah lain di sekitar Bandar Raya Alor Setar untuk turut mengambil inisiatif memelihara dan menghidupkan semula kawasan-kawasan berpotensi di bandar raya berkenaan.
 
“Harapan saya sebagai Datuk Bandar ialah untuk mengajak sekolah-sekolah menengah dan sekolah kebangsaan yang lain di bandar raya ini bersama-sama mencontohi SMK Sultanah Bahiyah.
 
“Boleh pilih dua atau tiga tempat lagi kerana banyak kawasan dalam bandar raya ini yang boleh kita sama-sama sumbangkan sebagai anak merdeka pada bulan kemerdekaan 31 Ogos tahun ini,” katanya.
 
Beliau berkata, semangat sedemikian bukan sahaja dapat menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan, malah mampu menyemai rasa tanggungjawab dalam kalangan generasi muda untuk bersama-sama memelihara warisan, menceriakan persekitaran serta menyumbang kepada pembangunan Bandar Raya Alor Setar.
 
Projek Revitalisasi Warisan dan Kelestarian Alam Sekitar yang dilaksanakan di kawasan Tanjung Chali merupakan inisiatif SMK Sultanah Bahiyah menerusi penyertaan dalam pertandingan Toyota Eco Youth Peringkat Kebangsaan 2026, yang mengetengahkan pendekatan kelestarian alam sekitar berasaskan penglibatan komuniti.
 
Projek itu digerakkan oleh pasukan The Heritage Guardians yang terdiri daripada tiga pelajar sebagai penggerak utama, dengan pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk Carbon Sink, Eco Barrie, gotong-royong, kerja-kerja pembersihan dan pengecatan semula bagi menghidupkan kembali kawasan warisan berkenaan.
 
Program itu berjaya menghimpunkan ratusan peserta terdiri daripada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi sekitar Bandar Raya Alor Setar, selain mendapat sokongan serta kerjasama pelbagai pihak termasuk MBAS, E-Idaman Sdn. Bhd., SWCorp, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Syarikat Air Darul Aman (SADA) serta syarikat penaja, Goto Paperplane Design.
 
MBAS berharap pelaksanaan projek berkenaan bukan sahaja memberi nafas baharu kepada kawasan Tanjung Chali, malah menjadi pemangkin kepada kejayaan pasukan The Heritage Guardians dari SMK Sultanah Bahiyah dalam pertandingan Toyota Eco Youth Peringkat Kebangsaan 2026, sekali gus membuktikan keupayaan golongan muda menerajui inisiatif kelestarian alam sekitar dan pemeliharaan warisan secara berterusan.
 
Skip to content