MBAS LAKSANA OPERASI PENGUATKUASAAN PAPAN IKLAN LUAR (BILLBOARD)
Alor Setar, 27 Ogos 2026 – Unit Iklan, Bahagian Pelesenan, Jabatan Kesihatan Persekitaran dengan kerjasama Bahagian Landskap, MBAS telah menjalankan Operasi Penguatkuasaan Papan Iklan Luar (Billboard) bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan dan syarat pelesenan yang ditetapkan.
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat papan iklan yang masih beroperasi tanpa lesen yang sah walaupun notis peringatan telah dikeluarkan kepada pemilik dan tempoh 7 hari telah diberikan bagi tujuan pematuhan.
Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan telah diambil dengan menampal Notis “IKLAN TANPA LESEN” pada visual papan iklan berkenaan sebagai makluman kepada orang awam serta peringatan kepada pemilik untuk mengambil tindakan sewajarnya.
Pemilik papan iklan yang menerima notis berkenaan adalah diminta untuk mengambil tindakan segera bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan pelesenan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Kerjasama dan perhatian daripada semua pihak amat dihargai dalam usaha memastikan pemasangan serta pengoperasian papan iklan di kawasan pentadbiran MBAS dilaksanakan secara teratur, sah dan mematuhi peraturan yang berkuat kuasa.
