MENJUNJUNG KASIH TUNKU | TUNKU TEMENGGONG KEDAH BERANGKAT KE PROGRAM 'ALOR SETAR CAR FREE SATURDAY' EDISI SEPTEMBER 2026
Alor Setar, 5 Sept 2026 – Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Temenggong Kedah perkenan berangkat ke Program dan menyertai Alor Setar Car Free Saturday edisi September 2026 yang berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti bertemakan kesihatan dan keselamatan di Dataran Medan Bandar, pagi tadi.
Tunku Temenggong Kedah yang juga Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Negeri Kedah turut menyempurnakan Larian Jubli Emas BSMM Negeri Kedah yang diadakan bersempena Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera peringkat negeri. Larian sejauh lima kilometer itu mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan lebih 2,000 peserta. Selain itu, turut diadakan acara Superhero Run yang membawa mesej kesedaran mengenai kanser kanak-kanak.
Tunku Temenggong Kedah turut berkenan menyertai acara brisk walk sekitar bandar raya Alor Setar, sekali gus memeriahkan program yang menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat.
Dalam pada itu, Isuzu Cycle for Health Edisi Ke-16 turut berlangsung dengan menghimpunkan lebih 1,000 peserta dari seluruh Malaysia serta peserta antarabangsa dari Satun, Thailand. Kayuhan sejauh 60 kilometer itu merentasi beberapa laluan sekitar bandar raya Alor Setar dan turut disertai Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya.
Penganjuran pelbagai aktiviti berkenaan bukan sahaja memeriahkan suasana hujung minggu di pusat bandar, malah menjadi platform untuk menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat serta meningkatkan kesedaran terhadap aspek kesihatan dan keselamatan.
Hadir sama Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, YBrs. Dr. Nor’Aishah Abu Bakar; Tuan Setiausaha MBAS, Encik Mohamad Shahuri Mohamad Norlin; Ahli-Ahli Majlis MBAS serta pegawai-pegawai terlibat.
Alor Setar Car Free Saturday akan terus dianjurkan pada Sabtu minggu pertama setiap bulan dengan pelbagai aktiviti menarik untuk masyarakat, dengan edisi seterusnya dijangka berlangsung pada 3 Oktober 2026.
