BENGKEL E-STRATA PERKUKUH TADBIR URUS DAN PENYELENGGARAAN BANGUNAN STRATA ZON UTARA
Alor Setar, 5 Sept 2026 – Bengkel Tadbir Urus Teknikal dan Penyelenggaraan Bangunan Strata bagi Modul Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) dalam Sistem e-Strata Zon Utara Tahun 2026 menjadi platform memperkukuh kefahaman serta keupayaan pegawai berkaitan tadbir urus teknikal dan penyelenggaraan bangunan strata, khususnya melalui penggunaan sistem digital bersepadu itu.
Bengkel anjuran Jabatan Perumahan Negara (JPN), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah berlangsung di Dewan Mesyuarat Bangunan UTC Kedah, di sini, baru-baru ini, disertai kira-kira 100 pegawai Pesuruhjaya Bangunan (COB), selain wakil Perbadanan Pengurusan, Badan Pengurusan Bersama (JMB) serta pihak pengurusan bangunan berstrata dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak.
Sistem e-Strata KPKT yang dibangunkan JPN berfungsi sebagai platform digital bersepadu bagi memperkemas tadbir urus pengurusan bangunan strata menerusi penyediaan pangkalan data nasional, penyelarasan maklumat, pemantauan prestasi pengurusan bangunan serta pelaporan secara berpusat.
Pelaksanaan sistem berkenaan turut menyokong usaha meningkatkan kecekapan pengurusan maklumat dan pemantauan penyelenggaraan bangunan strata, sekali gus membantu memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih sistematik dan berkesan.
Bengkel tersebut turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Bahagian Penyelenggaraan Perumahan, JPN, KPKT, Puan Zetty Zabrina binti Azrullah; Tuan Setiausaha MBAS, Encik Mohamad Shahuri Mohamad Norlin; Pegawai Pesuruhjaya Bangunan MBAS, PMgr. Sr. Zamzama bin Mohd serta pegawai-pegawai terlibat.
Penganjuran bengkel berkenaan turut menjadi platform perkongsian pengetahuan dan pengalaman antara pegawai Pesuruhjaya Bangunan serta pihak pengurusan bangunan strata di Zon Utara dalam memperkukuh pengurusan dan penyelenggaraan bangunan strata selaras dengan keperluan semasa dan pendigitalan perkhidmatan awam.
