DATARAN STARWALK ALOR SETAR MERIAH, LEBIH 200 KENDERAAN KLASIK JADI TARIKAN PENGUNJUNG
Alor Setar, 15 Sept 2026 — Dataran Starwalk Alor Setar menjadi tumpuan orang ramai apabila lebih 200 kenderaan klasik terdiri daripada Volkswagen, Mini Cooper dan Vespa memenuhi lokasi berkenaan sempena acara TTS Retro – Sempena Hari Malaysia, di sini, malam tadi.
Kehadiran peserta dari pelbagai negeri dengan membawa koleksi kenderaan klasik masing-masing bukan sahaja mencuri perhatian pengunjung, malah menghidupkan suasana nostalgia menerusi pelbagai model kenderaan yang sinonim dengan era terdahulu.
Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya menyifatkan penganjuran acara sedemikian sebagai satu inisiatif positif yang menyediakan ruang kepada masyarakat untuk menampilkan kreativiti dan kepelbagaian minat.
“Bandar raya Alor Setar adalah untuk semua lapisan masyarakat dan pelbagai bangsa. Kita terbuka seperti mana yang disarankan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar Kedah, ruang-ruang untuk warga bandar raya berkarya,” katanya ketika berucap menyempurnakan program berkenaan.
Beliau berkata ruang untuk berkarya membolehkan masyarakat menampilkan kreativiti, kepelbagaian idea dan minat masing-masing, selain bersama-sama menikmati kehidupan di Bandar Raya Alor Setar dalam suasana aman, selesa, segar dan bertenaga.
“Ini adalah program yang baik, berkualiti kepada sesebuah masyarakat yang berada di bandar raya Alor Setar ini. Saudara mengumpulkan semua rakan-rakan yang sama minat dan di sini kita bersilaturahim. Selain itu, kita turut membuka ruang menambah ilmu-ilmu sesama kita,” katanya.
Menurut beliau, penganjuran program seperti TTS Retro bukan sahaja menghimpunkan peminat yang berkongsi minat terhadap kenderaan klasik, tetapi turut membuka ruang interaksi, perkongsian pengetahuan dan pengalaman dalam kalangan peserta serta pengunjung.
Acara TTS Retro turut mencerminkan kepelbagaian aktiviti yang boleh dilaksanakan di ruang awam bandar raya, sekali gus menggalakkan penglibatan masyarakat dan menghidupkan suasana malam di bandar raya Alor Setar.
Penganjuran berkenaan juga memperlihatkan potensi Dataran Starwalk sebagai lokasi tumpuan bagi pelbagai aktiviti komuniti, rekreasi dan kebudayaan yang mampu menarik kehadiran masyarakat tempatan serta pengunjung dari luar Kedah.
