MBAS PUPUK KESEDARAN KOMUNITI MELALUI PROGRAM BERSAMA KOMUNITI STRATA

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 19 September 2026 — Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), SWCorp, FAMA, NEKMAT dan LKIM serta Koperasi MBAS telah menganjurkan Program Bersama Komuniti Strata bertempat di Flat Taman Derga Perdana, di sini pagi tadi.
 
Program itu dianjurkan sebagai usaha bagi memupuk kesedaran penduduk setempat mengenai pengurusan persekitaran, kebersihan serta pematuhan peraturan di kawasan kediaman berstrata.
 
Program telah disempurnakan Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MBAS, PMgr. Sr. Zamzama Mohd. Hadir sama Ahli Majlis MBAS Puan Susilawati Abdul Wahab; Pegawai FAMA Daerah Kota Setar/Kubang Pasu, Puan Norashikin Ahmad; wakil-wakil Badan Pengurusan Bersama (JMB) serta pegawai-pegawai terlibat.
 
Antara pengisian program ialah sesi perkongsian mengenai Larangan dan Kawalan Pemeliharaan Haiwan Peliharaan di Bangunan Strata yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Penguatkuasaan dan Promosi, Jabatan Kesihatan Persekitaran MBAS, Puan Jazilah Jalaludin.
 
Pegawai SWCorp Negeri Kedah, Encik Zolkhairi Ayob turut menyampaikan perkongsian berkaitan Pengasingan Sisa Pepejal di Bangunan Berstrata, khususnya kepentingan penglibatan penduduk dalam memastikan pengurusan sisa yang lebih teratur.
 
Selain itu, turut diadakan jualan hasil laut dan Agro MADANI yang menawarkan barangan keperluan pada harga berpatutan serta kaunter promosi daripada CelcomDigi.
 
MBAS komited akan terus memperkukuh pendekatan libat urus bersama komuniti bagi meningkatkan kesedaran serta menggalakkan tanggungjawab bersama dalam mewujudkan persekitaran kediaman yang bersih, selesa dan terurus.
 
 
Skip to content