




24 September 2026 – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) telah mengadakan Perhimpunan Korporat Bulanan bagi bulan September 2026 yang berlangsung di Perkarangan Lobi MPKK dengan penyertaan seluruh warga kerja MPKK.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku, Lagu Allah Selamat Sultan dan Lagu Perkhidmatan Awam, diikuti dengan bacaan ikrar serta bacaan doa. Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan aluan oleh Encik Badrulhilmi bin Sulaiman, Pengarah Jabatan Penguatkuasaan selaku urus setia perhimpunan.
Perhimpunan turut disempurnakan dengan amanat oleh Puan Noorul Azyyati binti Ahmad Salmi, Setiausaha MPKK. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan awam melalui pemerkasaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA). Beliau turut menyeru agar setiap jabatan menilai semula proses kerja sedia ada bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, efektif dan berimpak tinggi kepada masyarakat.
Dalam perhimpunan tersebut, beberapa pencapaian dan pengiktirafan yang telah diterima oleh MPKK turut diumumkan, antaranya:
1. Anugerah Tempat Pertama Diamond Award Plan AI-Hackathon 2026.
2. Anugerah Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan Tahun 2026 dengan memperoleh Penarafan 5 Bintang bagi Kategori Perbandaran.
3. Anugerah National BIM e-Submission (NBeS) 2026.
4. Anugerah Tempat Ketiga bagi Kempen Pengurusan Haiwan Terbiar.
5. Anugerah Tempat Kedua bagi Kategori Transaksi Tanpa Tunai Tertinggi Pihak Berkuasa Tempatan Kedah Tahun 2026.
6. Anugerah Johan bagi Kategori Pihak Berkuasa Tempatan, Badan Berkanun dan Swasta dan dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan bagi Istiadat Perbarisan dan Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Kedah.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan penyerahan kenderaan SUV Perodua Aruz kepada Jabatan Kejuruteraan MPKK sebagai salah satu usaha memperkukuh keupayaan operasi dan memastikan kelancaran pelaksanaan tugasan di lapangan. Majlis turut diteruskan dengan perasmian Bilik Pemandu Kenderaan MPKK, sebagai kemudahan sokongan yang lebih kondusif bagi menjaga kebajikan serta keselesaan warga kerja yang terlibat dalam pengurusan dan pengoperasian kenderaan jabatan.
Pencapaian dan pengiktirafan ini mencerminkan komitmen serta usaha berterusan seluruh warga MPKK dalam memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Semoga kejayaan yang dicapai menjadi pemangkin kepada seluruh warga MPKK untuk terus memperkukuh semangat kebersamaan, integriti dan budaya kecemerlangan demi kesejahteraan serta kemajuan warga Kulim.