TAHNIAH | MEDAN SELERA PUSAT BANDARAYA ALOR SETAR DINOBAT JOHAN ANUGERAH MEDAN SELERA BERSIH DAN SELAMAT KEDAH 2026

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Yan, 26 Ogos 2026 — Medan Selera Pusat Bandaraya Alor Setar berjaya meraih gelaran Johan Pertandingan Anugerah Medan Selera Bersih dan Selamat Peringkat Negeri Kedah 2026 bagi Kategori A – Medan Selera di bawah Pihak Berkuasa Tempatan/agensi kerajaan. Kejayaan itu diraih selepas melalui sesi penilaian yang dijalankan pada Ogos yang lalu.
Pengiktirafan itu telah disampaikan oleh Pengarah Kesihatan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, YBrs. Dr. Nor’Aishah Abu Bakar kepada Tuan Setiausaha MBAS, En. Mohamad Shahuri Mohamad Norlin sempena Ekspo Makanan Selamat Warisan Kedah serta Program Premis Bersih dan Bebas Asap (BeBAS) yang berlangsung di iCON Yan, Guar Chempedak, Yan, Kedah, hari ini.
Anugerah berkenaan merupakan satu pengiktirafan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan yang bertujuan mempromosikan amalan kebersihan premis, menjamin keselamatan makanan serta membudayakan gaya hidup sihat di medan selera seluruh negara.
Kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan MBAS dalam memastikan aspek kebersihan, keselamatan makanan dan pengurusan kemudahan awam sentiasa diberi perhatian demi keselesaan peniaga serta pengunjung.
Pihak MBAS merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan komitmen dalam memastikan Medan Selera Pusat Bandaraya sentiasa berada pada tahap terbaik serta memenuhi piawaian kebersihan dan keselamatan yang ditetapkan.
Skip to content