1,000 PESERTA BERGANDING BAHU SEMARAK HARI CUCI MALAYSIA DI ALOR SETAR

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 26 September 2026 — Kira-kira 1,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat berganding bahu menjayakan Program Gotong-Royong Hari Cuci Malaysia 2026 Peringkat Bandar Raya Alor Setar di Jalan Pintu Sepuluh, laluan belakang Aman Central, pagi semalam.
 
Program yang menghimpunkan komuniti, agensi kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan dan pertubuhan setempat itu bukan sahaja menyemarakkan budaya gotong-royong, malah berjaya mengumpulkan sebanyak 3,917 kilogram bahan kitar semula terdiri daripada minyak masak terpakai, kertas, plastik serta logam, aluminium dan lain-lain.
 
Penglibatan besar masyarakat dalam program berkenaan mencerminkan kesedaran bersama terhadap kepentingan kebersihan persekitaran, selain menggalakkan amalan pengasingan dan kitar semula sisa pepejal dalam kehidupan seharian.
 
Program diserikan dengan kehadiran Datuk Bandar Alor Setar YBhg. Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya, ADUN Kota Darul Aman YB Teh Swee Leong; Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Kedah dan Perlis, Encik Eugene Alan Dass; Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Negeri Kedah, YBhg. Dato’ Ang Saik Cheong; Pengasas Bersama dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Putra Medical Centre (PMC), Dato’ Dr. Lim Kim Huat serta Pengarah Urusan PMC, Dato’ Lee Gaik Cheng.
 
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Mahsuri Medical Centre merangkap Pengerusi Jawatankuasa Rawatan dan Pemulihan AADK, Dr. Zaki Zamani bin Abd Rashid; Ahli-Ahli Majlis MBAS, pegawai-pegawai MBAS serta wakil agensi dan organisasi yang terlibat.
 
Program berkenaan mendapat sokongan pelbagai agensi, syarikat swasta, institusi pendidikan dan komuniti termasuk SWCorp Kedah, E-Idaman Sdn. Bhd., Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Putra Medical Centre (PMC), Aman Central, Hotel Starcity, Hotel Fuller, Hotel Royal Signature, Hotel Frazel Heritage, Kidszoona, Izma Resources dan Bendang Afwa Resources Sdn. Bhd. Turut menjayakan program ialah Nestle (MILO), Lee Family Café, UIS, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah, Jabatan Penjara Alor Setar, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kota Setar, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah, Kawasan Rukun Tetangga PPR Kota Setar, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lotus’s Mergong, Kedah Medical Centre (KMC), Pasukan Bomba Sukarela Kampung Berjaya serta beberapa sekolah dan institusi pengajian tinggi di sekitar bandar raya Alor Setar.
 
Selain aktiviti gotong-royong, pelbagai pengisian berkonsepkan kesihatan, pendidikan dan kesedaran turut diadakan bagi menarik penyertaan masyarakat daripada pelbagai peringkat usia.
 
Antaranya aktiviti Zumba, pertandingan mewarna kanak-kanak, kuiz serta kempen kitar semula “Trash4Cash”, selain pelbagai aktiviti lain yang memberi penekanan kepada kepentingan menjaga kebersihan dan mengurus sisa secara berhemah. Kaunter pemeriksaan kesihatan serta pameran daripada agensi terlibat turut disediakan bagi meningkatkan pengetahuan orang ramai mengenai aspek kesihatan, kebersihan dan pengurusan sisa pepejal. Turut diadakan kaunter promosi oleh institusi perbankan dan syarikat telekomunikasi, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan.
 
Kejayaan mengumpulkan 3,917 kilogram bahan kitar semula dalam satu program menjadi antara hasil ketara penganjuran Hari Cuci Malaysia di Alor Setar, sekali gus memperlihatkan potensi besar penglibatan masyarakat dalam usaha mengurangkan sisa dan memperkukuh amalan kitar semula.
 
Program Hari Cuci Malaysia merupakan inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), diadakan serentak di seluruh negara bersempena World Clean Up Day 2026. Tahun ini, Program Hari Cuci Malaysia 2026 telah mencatatkan dua rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR). Dua rekod tersebut ialah penyertaan gotong-royong terbesar dengan penglibatan seramai 272,390 peserta di seluruh negara, mengatasi sasaran rekod 200,000 peserta, serta pengumpulan sebanyak 89,221.22 kilogram bahan kitar semula dalam tempoh satu hari, mengatasi sasaran rekod 28,000 kilogram.
 
Skip to content