25 SEPTEMBER 2026 – Suasana sekitar Jalan Teoh Moh Soo, Kulim berlangsung penuh warna-warni dan meriah menerusi penganjuran Karnival Pesta Tanglung Peringkat Negeri Kedah Tahun 2026 yang berjaya menarik kehadiran ribuan pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Program yang dianjurkan ini bukan sahaja meraikan warisan budaya masyarakat Tionghua menerusi sambutan Pesta Tanglung atau Perayaan Kuih Bulan, malah menjadi platform untuk memperkukuhkan semangat perpaduan, keharmonian dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Negeri Kedah.

Pesta Tanglung yang sinonim dengan nilai kekeluargaan, kasih sayang dan penghargaan terhadap tradisi menjadi ruang untuk masyarakat daripada pelbagai latar belakang mengenali, memahami serta menghargai kepelbagaian budaya yang menjadi keunikan negara kita.

Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) sentiasa menyokong penganjuran program kemasyarakatan dan kebudayaan yang dapat mengeratkan hubungan antara komuniti serta mewujudkan suasana bandar yang harmoni, inklusif dan sejahtera.

YB Wong Chia Zhen, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India & Siam dan NGO Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim hadir dan menyampaikan ucapan sempena program tersebut.

Hadir mewakili YBhg. Dato’ Yang Dipertua MPKK ialah Ir. Ts. Dr. Haji Muhamad Tarmymy bin Che Ani, Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPKK. Turut hadir Ahli-Ahli Majlis, bersama para jemputan kehormat, pemimpin masyarakat dan wakil agensi berkaitan.

Penganjuran seperti ini membuktikan bahawa kepelbagaian budaya merupakan kekuatan bersama yang menyatukan masyarakat. Melalui penglibatan dan sokongan berterusan daripada semua pihak, Kulim terus berkembang sebagai sebuah komuniti yang harmoni, saling menghormati dan meraikan kepelbagaian.

Klik untuk gambar sekitar program

#MajlisPerbandaranKulim

Skip to content