Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) mengambil maklum berhubung kenyataan media Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKN Kedah) berkaitan pengesahan satu kes Rabies dalam kalangan manusia di Negeri Kedah.
Sehubungan dengan perkara tersebut, orang ramai dinasihatkan supaya meningkatkan tahap kesedaran dan mengambil langkah berjaga-jaga berikutan risiko penularan penyakit Rabies yang boleh berlaku melalui gigitan, cakaran atau pendedahan kepada air liur haiwan yang dijangkiti.
Orang ramai yang mengalami kejadian digigit atau dicakar oleh haiwan adalah dinasihatkan untuk mengambil tindakan segera seperti berikut:
1. Membersihkan luka dengan sabun dan air mengalir sekurang-kurangnya 15 minit; dan
2. Mendapatkan pemeriksaan serta rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran dengan segera bagi penilaian risiko dan tindakan susulan yang bersesuaian.
Selain itu, pemilik haiwan peliharaan khususnya anjing dan kucing hendaklah memastikan haiwan peliharaan masing-masing menerima vaksinasi anti-rabies mengikut ketetapan dan nasihat Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Majlis Perbandaran Kulim menyeru seluruh warga Kulim agar sentiasa berwaspada, tidak mendekati haiwan terbiar yang tidak diketahui status kesihatan serta melaporkan sebarang kejadian berkaitan haiwan yang disyaki berisiko kepada pihak berkuasa berkaitan.
Kerjasama dan keprihatinan semua pihak amat dihargai dalam usaha memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti sentiasa terpelihara.
Sumber: Jabatan Kesihatan Negeri Kedah


