SELEPAS 30 TAHUN, PASAR KAMPUNG BERJAYA BAKAL ‘BERWAJAH BAHARU’
Alor Setar, 1 Oktober 2026 – Selepas lebih tiga dekad berdepan keadaan bangunan yang uzur dan kemudahan yang serba terbatas, Pasar Awam Kampung Berjaya kini bakal berwajah baharu apabila projek menaik taraf fasa pertamanya kini mencapai kemajuan fizikal 95 peratus.
Kerja-kerja akhir kini sedang dilaksanakan bagi menyiapkan fasa pertama projek berkenaan yang bertujuan memberikan keceriaan kepada bangunan pasar selain meningkatkan keselesaan peniaga dan pengunjung.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti, YB Dzowahir Ab Ghani berkata, projek bernilai RM458,400 itu dijangka siap sepenuhnya pada 10 Oktober ini selepas dilaksanakan selama 12 minggu bermula 16 Julai lalu.
“Ini antara usaha Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menaik taraf pasar ini. Kita dapat lihat kemajuan telah capai 95 peratus dan tinggal sedikit lagi kerja-kerja kemasan untuk menyiapkan fasa pertama. Selepas lebih 30 tahun, akhirnya kita berjaya dapatkan peruntukan dan menyiapkan wajah baharu Pasar Kampung Berjaya.”
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak pembangunan Pasar Kampung Berjaya, di sini, baru-baru ini. Hadir sama, Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Hj. Abdul Gafar Yahya, Ahli-Ahli Majlis MBAS serta pegawai-pegawai MBAS.
Tambah beliau lagi, projek berkenaan meliputi sembilan komponen utama yang dilihat mampu memberi nafas baharu kepada pasar terbabit, termasuk penggantian bumbung, mengecat semula bangunan, pemasangan papan tanda serta meroboh dan membina semula meja di bahagian sayur.
Turut termasuk dalam skop kerja ialah pembinaan sembilan unit kedai baharu, pembaikan jubin meja dan lantai pasar, penandaan meja serta pembaikan longkang. Susun atur ruang niaga turut diberikan perhatian bagi mewujudkan persekitaran yang lebih lapang, teratur dan mudah diselenggara.
“Sebelum ini terdapat 81 meja, jumlah itu dikurangkan kepada 75 bagi memberikan lebih keselesaan kepada peniaga dan pengunjung, selain memastikan aspek kebersihan lebih mudah dijaga.
“Kita bukan mengurangkan peniaga, MBAS turut menyediakan khemah tambahan di luar bangunan pasar bagi menampung peniaga, jadi ruang niaga yang disediakan sebenarnya lebih besar berbanding sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, peniaga asal juga akan terus diberikan ruang niaga mengikut peruntukan yang diterima sebelum ini dan tiada isu berhubung penempatan mereka.
Menurut YB Dzowahir, perubahan yang sedang dilaksanakan itu merupakan langkah awal sebelum MBAS meneruskan perancangan untuk menaik taraf kemudahan asas dan persekitaran di kawasan sekitar pasar menerusi fasa kedua. Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan fasa berkenaan bergantung kepada peruntukan tambahan yang sedang diusahakan.
“Jika buat sekaligus, ia memerlukan peruntukan besar. Jadi, kita laksanakan dahulu mengikut peruntukan sedia ada. MBAS sedang usahakan peruntukan tambahan untuk menaik taraf keseluruhan kawasan sekitar pasar ini.
“Mudah-mudahan pihak kementerian dapat menyalurkan lebih peruntukan bagi memastikan keseluruhan kawasan dapat dinaik taraf,” katanya.
Dalam pada itu, YB Dzowahir mengingatkan peniaga supaya turut memainkan peranan memastikan wajah baharu pasar berkenaan terus terpelihara, khususnya dari aspek kebersihan dan keceriaan.
Katanya, usaha menaik taraf infrastruktur perlu disusuli dengan komitmen semua pihak agar persekitaran pasar kekal bersih, selesa dan mampu menjadi tarikan kepada orang ramai.
“Bila kawasan bersih, ramai datang dan ini memberikan pulangan kepada peniaga. Kebersihan amat penting dan ia selaras dengan hasrat MBAS menjadikan bandar raya ini sebagai bandar terbersih dalam negara.
“Persekitaran bersih dan selesa juga menjadi tarikan pelancong selain merancakkan ekonomi setempat,” katanya.
Sementara itu, Abdul Gafar berkata, Pasar Awam Kampung Berjaya sebelum ini berdepan pelbagai kekangan termasuk keadaan bangunan yang uzur, susun atur kurang menarik, bumbung asbestos yang kerap rosak, tahap kebersihan yang rendah serta kemudahan yang tidak lagi memenuhi keperluan semasa.
Beliau berkata, keadaan aras lantai yang tidak sekata antara zon jualan sayur dan ikan serta pencahayaan yang tidak mencukupi turut menjejaskan keselesaan peniaga dan pengunjung.
“Pasar ini turut menempatkan ruang niaga gantian bagi peniaga Pasar Kuala Sungai yang terlibat dengan projek pelebaran Jalan Persekutuan laluan Alor Setar-Kangar.”
“Usaha itu sekali gus diharap mengembalikan peranan pasar awam sebagai nadi ekonomi setempat, bukan sahaja sebagai tempat urus niaga, tetapi juga ruang yang selesa dan selamat untuk masyarakat mendapatkan keperluan harian.” ujarnya.
