


29 September 2026 – Mesyuarat Majlis Penuh Bilangan 9 Tahun 2026 telah dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim (MPKK). Mesyuarat ini telah menghimpunkan Ahli-Ahli Majlis lantikan politik serta Ahli Majlis Ex-Officio daripada agensi teknikal daerah dan ketua jabatan dalaman MPKK.
Dalam ucapan aluannya, Yang Dipertua MPKK, YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff turut menzahirkan ucapan takziah kepada Tun Dr. Mahathir bin Mohamad serta seluruh ahli keluarga atas pemergian isteri tercinta, Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah binti Mohd Ali yang telah kembali ke rahmatullah.
Selain itu, beliau turut menzahirkan kebimbangan berhubung kes pertama rabies dalam kalangan manusia yang dilaporkan di Negeri Kedah sejak tahun 1998. Sehubungan itu, beliau menyeru agar masyarakat sentiasa berwaspada serta mengambil langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya bagi membendung penularan penyakit tersebut, termasuk memastikan faktor-faktor yang berpotensi menyumbang kepada penyebaran rabies ditangani dengan segera, khususnya di kawasan pentadbiran MPKK.
Mesyuarat turut membincangkan dan menerima ketetapan minit mesyuarat Jawatankuasa Tetap serta Jawatankuasa Kecil MPKK yang melibatkan pelbagai bidang termasuk pelesenan, kesihatan, perancangan dan pembangunan, pusat setempat (OSC), serta pengangkutan dan lalu lintas bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat dapat dipantau serta dilaksanakan dengan sewajarnya.
Mesyuarat turut mengambil maklum Laporan Aduan Awam sebagai salah satu mekanisme penting dalam menilai tahap penyampaian perkhidmatan Majlis serta memastikan isu dan pandangan masyarakat diberikan perhatian serta tindakan susulan yang sewajarnya.
Mesyuarat Majlis Penuh merupakan platform utama dalam memperkukuhkan tadbir urus Majlis melalui perbincangan dan pertimbangan terhadap perkara-perkara berkaitan dasar, kewangan, pembangunan, perkhidmatan bandar serta kesejahteraan masyarakat bagi memastikan penyampaian perkhidmatan MPKK terus diperkasakan demi kepentingan warga Kulim.