PERKONGSIAN ISU PATI, PELARIAN DAN KESEDARAN JANGKITAN RABIES
Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) telah mengadakan Mesyuarat Majlis Penuh Bil. 9/2026 pada hari ini yang turut diisi dengan sesi perkongsian maklumat dan taklimat khas daripada agensi berkaitan bagi meningkatkan kefahaman Ahli-Ahli Majlis serta pengurusan MPSPK terhadap isu-isu semasa yang melibatkan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat.
Sesi pertama telah disampaikan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah berkaitan Isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), Pelarian dan Liberalisasi Tomyam, yang memberi pendedahan lebih jelas berhubung aspek perundangan, kawalan kemasukan warga asing serta tindakan yang perlu diambil melalui saluran yang sah dan betul.
PERKARA YANG PERLU DIBERI PERHATIAN OLEH MASYARAKAT
✅ Tidak menggaji warga asing tanpa memastikan mereka memiliki dokumen yang sah.
✅ Tidak memberikan maklumat palsu kepada pihak berkuasa.
✅ Tidak mengambil tindakan sendiri terhadap warga asing yang disyaki melakukan kesalahan.
✅ Tidak melindungi atau membantu menyembunyikan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
✅ Sentiasa berwaspada terhadap individu yang menyamar sebagai pegawai imigresen.
Turut dibentangkan dalam mesyuarat tersebut ialah taklimat oleh Dr. Suziana binti Redzuan, Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Muda berkaitan Jangkitan Rabies Pada Manusia, sebagai langkah meningkatkan kesedaran mengenai penyakit zoonotik yang boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat dengan segera.
APA PERLU DILAKUKAN SELEPAS DIGIGIT HAIWAN?
Panduan Mencegah Rabies (Penyakit Anjing Gila)
Rabies ialah penyakit berjangkit daripada haiwan kepada manusia yang boleh dicegah tetapi membawa maut apabila gejala telah muncul. Tindakan segera selepas terdedah kepada haiwan berisiko amat penting.
LANGKAH 1: RAWATAN AWAL SEGERA
CUCI LUKA DENGAN TELITI SELAMA 15 MINIT
* Basuh luka dengan air mengalir dan sabun atau detergen selama 15 minit.
* Tindakan ini membantu menyingkirkan atau menyahaktifkan virus rabies.
* Jangan tunggu sehingga luka teruk atau bergejala untuk mendapatkan rawatan.
LANGKAH 2: DAPATKAN RAWATAN & PENILAIAN RISIKO
KATEGORI 1 – RISIKO RENDAH
Tiada pendedahan
* Menyentuh atau memberi makan haiwan
* Haiwan menjilat kulit yang tidak luka
➡️ Tiada vaksin rabies diperlukan.
KATEGORI 2 – RISIKO SEDERHANA
Pendedahan sederhana
* Haiwan menggigit/menggigit ringan kulit yang terdedah
* Calar atau luka kecil tanpa pendarahan
➡️ Memerlukan vaksin rabies.
KATEGORI 3 – RISIKO TINGGI
Pendedahan berisiko tinggi
* Gigitan atau calar yang menyebabkan luka/pecah kulit dan berdarah
* Air liur haiwan terkena mata, mulut atau bahagian mukosa
* Air liur terkena kulit yang luka
➡️ Memerlukan vaksin rabies + Imunoglobulin Rabies (RIG).
PESANAN UTAMA KEPADA MASYARAKAT
DIGIGIT / DICAKAR HAIWAN?
CUCI 15 MINIT → DAPATKAN RAWATAN SEGERA → IKUT NASIHAT PETUGAS KESIHATAN
Jangan sapu bahan tradisional atau menutup luka tanpa mencuci terlebih dahulu.
Perkongsian tersebut turut dikongsikan kepada masyarakat agar sentiasa peka dan mengambil langkah berjaga-jaga.MPSPK sentiasa komited untuk memperkukuh kerjasama strategik bersama semua agensi-agensi yang berkaitan serta komuniti setempat dalam mempertingkatkan usaha pemantauan, penguatkuasaan dan penyampaian maklumat demi kepentingan awam.





