PENYUSUNAN SEMULA PENJAJA SIMPANG EMPAT, BINAAN TANPA KEBENARAN DIARAH DIROBOHKAN
Alor Setar, 8 Oktober 2026 – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melaksanakan operasi perobohan binaan tanpa kebenaran di kawasan Simpang Empat bagi menyusun semula penempatan penjaja, sekali gus memastikan aktiviti perniagaan lebih teratur dan tidak mengganggu penggunaan jalan awam.
Pegawai Kesihatan Persekitaran MBAS, Muhammad Helmy Jufry Rusli berkata, tindakan itu bukan bertujuan menghalang penjaja mencari rezeki, sebaliknya memberi penambahbaikan kepada kawasan berkenaan dengan memastikan aktiviti perniagaan dijalankan di tapak yang dibenarkan.
“Operasi ini bukan untuk menghalang penjaja berniaga. Kita hanya mengambil tindakan terhadap binaan yang didirikan tanpa kebenaran MBAS, manakala aktiviti perniagaan perlu dijalankan di lokasi yang dibenarkan,” katanya ketika ditemui semasa operasi berkenaan di sini, pagi semalam.
Menurutnya, MBAS tidak lagi membenarkan aktiviti penjajaan di sepanjang jalan awam, khususnya di laluan berhampiran lampu isyarat kawasan pasar awam dan sekitar Simpang Empat.
Sebaliknya, tapak perniagaan yang dibenarkan disediakan di kawasan Medan Selera Simpang Empat dan kawasan bersebelahan Pasar Awam Simpang Empat. Penjaja yang menjalankan perniagaan di lokasi berkenaan juga tidak dibenarkan mendirikan binaan tanpa kelulusan pihak MBAS.
Tambah beliau, MBAS telah mengeluarkan dua notis kepada penjaja terbabit, iaitu pada 1 Oktober ketika sesi libat urus di Bangunan UTC Kedah dan pada 5 Oktober menerusi serahan tangan bersama Bahagian Penguatkuasaan MBAS di lokasi.
Beliau berkata, hasil perbincangan lanjut dengan penjaja, MBAS memberikan pertimbangan supaya mereka merobohkan sendiri binaan berkenaan sebelum 12 Oktober ini bagi penjaja di kawasan bersebelahan Pasar Awam Simpang Empat.
“Tindakan ini dibuat dengan mengambil kira perbincangan bersama penjaja. Kita berharap mereka mematuhi persetujuan dan arahan yang telah ditetapkan supaya usaha menyusun serta memperelok kawasan penjajaan ini dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan berdasarkan Seksyen 23 Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja dan Gerai MBAS 2010. Operasi berkenaan turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta jabatan dan bahagian dalaman MBAS.
Menurut beliau, pendekatan penyusunan semula penjaja di kawasan itu diambil sepertimana pelaksanaan penyusunan kawasan penjaja di lokasi lain seperti Tandop, Taman Wira dan Taman Pelangi, yang dilaksanakan bagi mewujudkan persekitaran perniagaan lebih kemas, teratur dan selamat.
Beliau berharap kerjasama penjaja dalam mematuhi ketetapan MBAS dapat membantu mewujudkan kawasan Simpang Empat yang lebih tersusun, selesa dan selamat untuk peniaga serta orang awam.
