




15 Oktober 2026 – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) telah mengadakan Perhimpunan Korporat Bulanan bagi bulan Oktober 2026 bertempat di perkarangan Lobi MPKK dengan kehadiran seluruh warga kerja MPKK.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu-lagu rasmi dan lafaz Ikrar Rukun Negara, diikuti dengan ucapan aluan oleh Tuan Haji Zaidi bin Zainun, Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat MPKK, mewakili pihak urus setia perhimpunan.
Perhimpunan diteruskan dengan penyampaian amanat oleh YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK, yang menekankan kepentingan penghayatan nilai integriti, pemantapan disiplin, penyuburan semangat patriotisme serta pembudayaan kerja berpasukan dalam memperkukuh kecemerlangan organisasi dan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Dalam amanat tersebut, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada seluruh warga MPKK atas komitmen serta kerjasama yang diberikan dalam menjayakan penganjuran Hari Sukan Negara 2026 Peringkat MPKK.
Perhimpunan turut diserikan dengan tayangan montaj, penyampaian hadiah sempena Hari Sukan Negara 2026 serta penyerahan lori baharu sebagai sebahagian daripada usaha berterusan MPKK dalam memperkukuh keupayaan operasi, meningkatkan kecekapan pengurusan dan memantapkan mutu perkhidmatan perbandaran.
Penganjuran perhimpunan bulanan ini bukan sahaja menjadi platform penyampaian amanat dan perkongsian maklumat organisasi, malah berperanan sebagai medium mempererat hubungan silaturahim, menyemarakkan semangat kebersamaan serta memperkukuh iltizam seluruh warga kerja ke arah kecemerlangan perkhidmatan.
Semoga semangat kebersamaan dan komitmen yang diterapkan terus menjadi pemangkin kepada pembentukan budaya kerja yang profesional, berintegriti dan berprestasi tinggi, seiring dengan aspirasi MPKK untuk merealisasikan pembangunan Kulim yang maju, mampan dan sejahtera.