PENYUSUNAN SEMULA PENJAJA TAMAN BUDIMAN, TUJUH KHEMAH DIBERIKAN KEPADA PARA PENIAGA

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 18 Oktober 2026 — Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melaksanakan penyusunan semula penjaja di Taman Budiman bagi memastikan aktiviti perniagaan di kawasan itu lebih teratur, bersih dan selamat, selaras dengan peraturan yang ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan.
 
Ketua Bahagian Pengurusan Pasar dan Penjaja MBAS, Puan Nor Shakila Che Ali berkata, sebanyak tujuh unit khemah diserahkan kepada penjaja yang terlibat susulan operasi perobohan bagi membantu mereka meneruskan perniagaan dalam keadaan lebih tersusun, selain memastikan penggunaan kawasan awam tidak mengganggu kepentingan masyarakat setempat.
 
Beliau berkata, kawasan perniagaan di tepi jalan berkenaan merupakan tanah rizab dan pembinaan struktur kekal tidak dibenarkan tanpa kebenaran pihak berkuasa.
 
“MBAS bukan menghalang penjaja daripada berniaga, sebaliknya kita mahu aktiviti perniagaan dijalankan secara teratur dan mematuhi syarat serta prosedur yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan,” katanya ketika di pada program penyerahan khemah kepada penjaja di Taman Budiman, pagi semalam. Hadir sama di program tersebut ialah Ahli Majlis MBAS Zon 3 ; Dato’ Chng Boon Chye.
 
Tambah beliau, penjaja yang terlibat boleh meneruskan perniagaan di lokasi asal menggunakan khemah yang disediakan atau menyusun kedudukan perniagaan secara berkumpulan di kawasan yang dibenarkan.
 
Bagaimanapun, beliau menegaskan penjaja tidak dibenarkan meninggalkan khemah di tapak perniagaan selepas tamat waktu operasi dan perlu memastikan kawasan berkenaan dikemas serta dibersihkan setiap hari.
 
“Penggunaan khemah perlu mengikut saiz yang ditetapkan, iaitu 10 x 10, bagi memastikan susun atur penjaja lebih seragam serta tidak mengganggu kelancaran pergerakan di kawasan ini. Pelaksanaan penyusunan semula ini merupakan satu inisiatif kita untuk mendidik para peniaga menjaga kebersihan serta mematuhi syarat-syarat Undang-Undang Kecil (UUK) Lesen Penjaja Kecil dan Gerai (MBAS) 2010”, katanya.
 
Dalam pada itu, MBAS turut menggalakkan penjaja kecil yang berdepan kekangan untuk menyimpan barangan perniagaan supaya mempertimbangkan kemudahan di kawasan medan-medan selera yang disediakan.
 
Penyusunan semula itu merupakan sebahagian daripada usaha MBAS menangani isu kacau ganggu laluan awam di Taman Budiman susulan aduan orang ramai serta kegagalan pemilik gerai mematuhi notis penguatkuasaan yang dikeluarkan.
 
Pemeriksaan pada 2025 mendapati terdapat penjaja yang tidak mempunyai lesen perniagaan sah, selain mendirikan binaan kekal dan meninggalkan peralatan perniagaan di tempat awam. MBAS turut mengadakan sesi libat urus bersama penjaja terlibat pada 25 Mei 2026 bagi membincangkan penyelesaian terhadap isu berkenaan.
 
MBAS mengeluarkan notis penguatkuasaan pertama pada 12 Januari 2026 sebelum operasi pertama dilaksanakan pada 3 Ogos 2026. Selepas masih terdapat binaan yang belum dialihkan, notis peringatan terakhir dikeluarkan pada 10 Oktober 2026.
 
Dalam operasi penguatkuasaan kali kedua, dua struktur gerai tanpa kebenaran dipindahkan, manakala satu lagi dirobohkan sendiri oleh pemiliknya. Tindakan itu dilaksanakan mengikut peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
 
MBAS menegaskan penyusunan semula itu bukan bertujuan menyekat peluang penjaja mencari rezeki, sebaliknya memastikan perniagaan dapat diteruskan secara terancang dengan mengambil kira kebajikan peniaga, keselesaan penduduk dan kelancaran laluan awam. Penjaja yang mempunyai lesen perniagaan sah akan diberikan sebuah khemah secara percuma untuk berniaga selepas penyusunan semula dilaksanakan.
 
MBAS akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan semua penjaja mematuhi peraturan, sekali gus mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kemas, selamat dan kondusif kepada warga bandar raya Alor Setar.
 
Skip to content