MBAS LAKSANA OPERASI NOTIS TUNGGAKAN DAN SITAAN DI 29 PREMIS MBAS

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 12 Oktober 2026 — Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melaksanakan Operasi Notis Tunggakan dan Sitaan terhadap penyewa premis yang mempunyai tunggakan sewaan di Medan Bendahara dan Medan Putra baru-baru ini sebagai langkah memperkukuh penguatkuasaan serta memastikan bayaran sewaan dijelaskan mengikut ketetapan.
 
Operasi yang dikendalikan Bahagian Pengurusan Harta MBAS itu melibatkan keseluruhan 29 unit premis, merangkumi 9 unit di Medan Bendahara dan 20 unit di Medan Putra.
 
Pelaksanaan operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada tindakan berterusan MBAS menangani isu tunggakan sewaan yang terkumpul sebanyak RM365,595.20, melibatkan pelbagai kategori premis dan tanah di bawah pengurusannya.
 
Selain pengeluaran notis tunggakan dan tindakan sitaan terhadap penyewa yang berkenaan, MBAS turut mengambil langkah susulan termasuk pembatalan tawaran penyewaan bagi premis yang gagal memenuhi kewajipan pembayaran serta pelantikan ejen kutipan rasmi bagi mempercepatkan proses mendapatkan semula tunggakan.
 
Operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan sejak Februari 2026 itu menunjukkan perkembangan positif apabila berjaya mengutip semula tunggakan sewaan berjumlah RM186,362 setakat ini.
 
MBAS menyeru semua penyewa agar menjelaskan bayaran sewaan mengikut jadual yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan premis, termasuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kemudahan, demi menjamin keselesaan serta keselamatan penyewa dan pengunjung. Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan kemudahan premis sentiasa berada dalam keadaan baik dan terurus.
 
 
Skip to content