28 Oktober 2026– Bersempena Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman (EXCO) yang berlangsung di Pejabat Daerah dan Tanah Kulim, YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua, bersama Puan Noorul Azyyati binti Ahmad Salmi, Setiausaha, berkesempatan hadir pada sesi pagi bagi menyantuni kehadiran YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor, Menteri Besar Negeri Kedah, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) serta tetamu yang hadir.

Kehadiran tersebut menjadi kesempatan untuk memperkukuh hubungan baik antara MPKK dengan kepimpinan dan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah bagi Kempen Kulim Bebas Beg Plastik, selaras dengan Dasar Pengurangan Plastik Sekali Guna.

Sebagai simbolik kepada usaha tersebut, Dato’ Yang Dipertua telah menyampaikan beg guna semula MPKK kepada YAB Menteri Besar Kedah, barisan EXCO serta ahli mesyuarat yang hadir bagi menggalakkan budaya penggunaan beg mesra alam.

Inisiatif ini juga menjadi sebahagian daripada usaha menyemarakkan kesedaran masyarakat menjelang pelaksanaan Kempen Kulim Bebas Beg Plastik secara berperingkat dan mulai 1 Januari 2027, premis perniagaan yang terlibat dalam kawasan pentadbiran MPKK tidak lagi dibenarkan membekalkan beg plastik kepada pengguna.

Langkah ini penting bagi mengurangkan pencemaran plastik, meminimumkan penjanaan sisa pepejal dan membudayakan penggunaan beg guna semula dalam kalangan masyarakat.

MPKK berusaha untuk terus memperluas kesedaran dan menggalakkan perubahan amalan harian ke arah pembangunan perbandaran yang lebih bersih, hijau dan mampan.

Klik untuk gambar sekitar program

#MajlisPerbandaranKulim

#kempenbebasbegplastik

Skip to content