28 Oktober 2026 – YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK bersama Puan Setiausaha dan pengarah jabatan terlibat telah menghadiri Majlis Perasmian Pembukaan Rasmi Ferrotec Manufacturing Malaysia Plant 2 di Padang Meha, Kulim. Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor, Menteri Besar Kedah.

Pembukaan fasiliti baharu ini merupakan satu lagi perkembangan penting dalam sektor perindustrian berteknologi tinggi di Kulim, khususnya industri semikonduktor. Pengembangan operasi ini juga dijangka mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat serta membuka lebih banyak peluang kerjaya kepada masyarakat Kulim dan rakyat Kedah.

Turut hadir ialah YB Dato’ Seri Haji Norizan bin Khazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah; YB Prof. Dr. Haim Hilman bin Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi; YB Dato’ Ustazah Hajah Siti Ashah binti Haji Ghazali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas; serta Encik Mohamad Rizal bin Mohamad Radzi, Pegawai Daerah Kulim. Hadir sama, Mr. He Xian Han, Presiden Ferrotec Corporation; Mr. Peter Holland, Naib Presiden Korporat, Supply Chain, Lam Research.

Sejurus selepas majlis perasmian, YAB Menteri Besar Kedah bersama barisan kenamaan turut mengadakan lawatan ke fasiliti kilang bagi melihat dengan lebih dekat operasi serta teknologi pembuatan yang dilaksanakan oleh Ferrotec.

MPKK sentiasa komited dalam menyokong pembangunan perindustrian yang terancang dan mampan, seiring dengan usaha memperkukuh ekosistem pelaburan, merancakkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.

Semoga pembukaan Ferrotec Manufacturing Malaysia Plant 2 terus memperkukuh kedudukan Kulim sebagai antara hab industri berteknologi tinggi yang penting di negeri Kedah.

Klik untuk gambar sekitar program

#MajlisPerbandaranKulimKedah

#TheGreaterKedah

Skip to content